Malaysiakini
BERITA

Belian hotel dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda

M Fakhrull Halim

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Okt 2019, 12:01 tengahari

KES FIC | Bekas Pengarah Besar Felda, Hanapi Suhada hari ini mengesahkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tidak mendapat sebarang kelulusan daripada agensi itu terlebih dulu.

Katanya, menjadi tanggungjawab ahli Lembaga Pengarah FIC untuk mengarahkan ketua pegawai eksekutif (CEO) mengemukakan kertas lembaga mengenai kelulusan pembelian MPHS yang dibuat di peringkat lembaga FIC.

“Tiada sebarang kelulusan diberikan oleh Lembaga Pengarah Felda berhubung cadangan pembelian MPHS sebanyak RM160 juta oleh FIC kerana tiada kertas lembaga mengenainya telah dibentangkan untuk kelulusan Lembaga Felda.

“[...] Kebiasaannya, CEO FIC akan merujuk kepada pengerusi Lembaga Pengarah FIC untuk mendapatkan arahan terlebih dahulu berkaitan keputusan anggota lembaga pengarah yang dibuat, yang perlu dibentangkan untuk kelulusan lembaga Felda.

“Saya tidak tahu kenapa kelulusan pembelian MPHS berjumlah RM160 juta tidak dibawa ke peringkat Lembaga Pengarah Felda,” katanya ketika memberikan keterangan sebagai saksi kelima perbicaraan rasuah dan pecah amanah bekas pengerusi dan pengarah FIC, Isa Samad, hari ini.

Hanapi juga merupakan anggota Lembaga Pengarah FIC antara 8 Julai 2015 hingga 6 Jun 2017.

Dia juga memegang jawatan pengarah besar Felda dari 1 April 2015 sehingga bersara wajib pada 15 Mei 2017.

Arah buat penilaian semula

Isa - yang juga bekas pengerusi Felda - dituduh melakukan pecah amanah dengan memainkan peranan aktif dalam pembelian MPHS pada harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda pada 2013 yang menyatakan mereka memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah FIC membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

Isa turut berhadapan sembilan lagi tuduhan menerima suapan RM3,090,000 daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, yang memiliki MPHS, sebagai upah kerana membantu meluluskan pembelian aset tersebut.

Menurut Hanapi, sebagai anak syarikat sepenuhnya milik Felda, anggota Lembaga Pengarah FIC perlu mematuhi mandat yang diberikan dan semua pelaburan FIC perlu dibuat berpandukan had kuasa pelaburan yang ditetapkan.

“Had kuasa pelaburan ini telah diputuskan dalam mesyuarat lembaga Felda bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013.

“[...] Minit (mesyuarat) ini ditandatangani oleh Isa, pengerusi lembaga Felda,” katanya lagi.

Kata Hanapi, menurut Perkara 3(vii) minit tersebut ahli Lembaga Felda memberi mandat kepada ahli Lembaga FIC membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek RM100juta dan ke bawah.

Tambahnya lagi, walaupun pelaburan melebihi RM100 juta diluluskan oleh anggota Lembaga Pengarah FIC, mereka perlu membawa semula kelulusan yang dibuat di peringkat FIC untuk kelulusan Felda.

Hanapi akan menyambung memberi keterangannya esok pagi.

Terdahulu, saksi keempat, pengurus kanan kewangan FIC, Azlan Mohamed Ismail, menjelaskan bahawa anggota Lembaga Pengarah FIC mengarahkan penilaian semula dibuat ke atas MPHS pada 2017 berdasarkan laporan bahawa pembelian hotel itu melebihi nilai sebenar.

Hasil penilaian semula oleh syarikat CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd (CH Williams), nilai semasa MPHS dianggarkan bernilai RM80 juta, namun diturunkan kepada RM77.5 juta berdasarkan satu tender exercise oleh sebuah syarikat.

“Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pembelian MPHS ini telah menyumbang kepada unrealized losses berjumlah RM82.5 juta kepada FIC berdasarkan perbezaan antara harga pembelian RM160 juta dan harga semasa RM77.5 juta,” katanya ketika memberikan keterangan.

Keterangannya mengenai penilaian semula dan kerugian itu dimohon untuk dikeluarkan (espunged) daripada kenyataan bertulis Azlan oleh peguam bela Isa, Salehuddin Saidin kerana dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan itu.

Namun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan itu selepas mendengar hujah timbalan pendakwa raya, Afzainizam Abdul Aziz yang menjelaskan ia relevan untuk membuktikan kes pecah amanah dalam perbicaraan tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.