Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2020: Syed Saddiq mohon dana RM6 bilion untuk wujud 350,000 kerja

WAWANCARA | Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membuat permintaan besar dalam Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini.

Beliau berkata telah meminta menyalurkan peruntukan berjumlah RM6 bilion kepada kementeriannya.

Menurutnya, dana berkenaan penting untuk mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Mencipta peluang pekerjaan adalah keutamaan," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.

"Anda boleh menang 100 pingat emas tetapi jika kita tidak dapat menyelesaikan isu ekonomi asas yang melibatkan golongan muda, yang pada asasnya adalah berkenaan pekerjaan, kita tidak akan dapat memenuhi kepentingan utama mereka," katanya.

Peruntukan "belanjawan khas" adalah satu daripada tiga keutamaan bagi golongan muda yang digariskan oleh Syed Saddiq semalam.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan perincian mengenai cara peruntukan itu akan digunakan untuk mencipta peluang pekerjaan, tetapi membayangkan ia akan menjadi sebahagian daripada pembentangan Belanjawan 2020.

"Untuk menghuraikan rancangan itu, kita perlu tunggu belanjawan," katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen Jumaat ini.

Menurut Jabatan Perangkaan, setakat Julai 2019, sekitar 524,800 orang kini menganggur dengan kadar pengangguran pada 3.3 peratus.

Daripada jumlah itu, pengangguran belia dianggarkan pada 10.9 peratus.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata pihaknya juga memohon peruntukan lain termasuk elaun untuk pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dari latar belakang kurang bernasib baik.

Katanya, ia lebih berkesan berbanding menyediakan pemberian tunai secara tidak bersasar kepada golongan muda.

"Jika anda melihat kadar diambil kerja selepas tamat pengajian TVET, ia sangat tinggi iaitu kira-kira 94-96 peratus, jauh lebih baik daripada beberapa universiti awam.

"Jadi persoalannya bagaimana kita menarik lebih ramai orang menyertai aliran pendidikan TVET, pada masa sama menetapkan semula fokus TVET," katanya lagi.

Kerajaan berhasrat menjadikan TVET sebagai salah satu cara utama untuk merapatkan jurang kekayaan di kalangan rakyat di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dengan menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi.

Sementara itu, permintaan ketiga untuk belanjawan golongan muda adalah berkaitan kenaikan gaji minimum daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan.

Ia sejajar dengan janji Pakatan Harapan (PH) iaitu menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh satu penggal pertama kerajaan.

Mengulas belanjawan bagi sektor sukan pula, Syed Saddiq berkata pihaknya memerlukan RM100 juta untuk membina kemudahan sukan di kawasan luar bandar yang kurang kemudahan itu.

Beliau berkata keutamaan dan penekanan akan diberi kepada kawasan yang telah dikenal pasti oleh Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai titik panas masalah sosial.

Pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan juga berhasrat mengekalkan kemudahan sukan sedia ada yang telah diabaikan atau dalam keadaan tidak baik.

Untuk atlet, Syed Saddiq berkata beliau mahu pembiayaan tambahan kepada atlet wanita dan atlet para (kelainan upaya) agar sama rata dengan pembiayaian atlet lelaki.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau menjangkakan cabaran sukar di Sukan SEA di Filipina bermula 30 November ini.

Katanya, Filipina selaku tuan rumah mempunyai kelebihan dalam memilih sukan yang dipertandingkan, menyebabkan beberapa sukan yang diungguli Malaysia - seperti silat - mempunyai jumlah acara yang lebih rendah.

Pada masa sama, beberapa sukan baru akan dipertandingkan seperti hoki dalam air.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata kontinjen Malaysia mesti memberikan sepenuh jiwa dalam semua acara sukan yang disertai mereka.

"Kita antara kontinjen terbesar yang dihantar untuk ke Sukan SEA dan para atlet kita telah berlatih dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Pada Sukan SEA 2017 di Malaysia, negara mendapat 145 pingat emas, dan 323 pingat secara keseluruhan, sekali gus mendapat tempat pertama dalam kejohanan itu.

Lihat Komen
ADS