Paling Popular
Terkini

KES 1MDB NAJIB RAZAK | Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu syarikat berkait ahli perniagaan Low Taek Jho membuat keuntungan atas angin kira-kira RM83 juta hanya dalam masa beberapa hari.

Keuntungan itu diraih apabila syarikat itu melanggan bon 1MDB dengan harga diskaun sebelum menjualnya semula dengan nilai muka (face value, atau nilai di atas kertas).

Saksi kesembilan perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, ditanya jika dia tahu mengenai Aktis Capital Singapore Pte Ltd dan Country Group Securities Pcl, firma yang dipercayai berkait dengan Jho Low.

Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, yang membuat pemeriksaan balas terhadap Shahrol, mendedahkan bahawa Aktis Capital dan Country Group telah membuat perjanjian dengan Ambank untuk membeli Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB berjumlah RM700 juta dengan harga diskaun 12 peratus iaitu kira-kira RM617 juta pada tahun 2009.

Menyorot urus niaga Aktis Capital, Shafee berkata firma itu kemudiannya menjual semula bon tersebut pada nilai tara (par value) kepada KWSP dan Perkeso serta firma insurans utama, mengumpul hampir RM83 juta dalam masa hanya beberapa minggu daripada urus niaga berkenaan.

"Simpulan bahasa Melayu menyebutnya buat untung atas angin sebanyak RM82 juta daripada (urus niaga) dagangan dan berbagai yuran," kata Shafee.

Keuntungan akhir yang diperolehi selepas berbagai potongan adalah sebanyak RM74 juta.

Bagaimanapun, Shahrol (gambar, atas) berkata sebagai CEO dia tidak pernah dimaklumkan peranan Aktis Capital dan mencadangkan Ambank mungkin menyembunyikan perkara ini.

Shafee: Adakah sekarang kamu akan merekodkan keterangan yang kamu tidak pernah dimaklumkan oleh Ambank bahawa Aktis Capital and Country Group terlibat sebagai pelanggan sekunder?

Shahrol: Ya.

Shafee: Adakah kumpulan Ambank sengaja menyembunyikan fakta ini?

Shahrol: Ya, kerana mereka tidak mengemukakannya kepada kami.

Shafee: Kenapa awak rasa mereka menyembunyikannya? Mereka hanya bank.

Shahrol: Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai hal itu.

Shafee kemudian mencadangkan bahawa urusan dengan Aktis Capital dan tindakan merahsiakannya tidak dilakukan oleh Ambank secara rasmi tetapi oleh "seseorang" di dalam bank yang mana Shahrol bersetuju dengan kenyataan itu.

Shahrol juga mengakui bahawa 1MDB adalah antara pihak yang rugi akibat daripada perjanjian itu dengan Aktis Capital.

1MDB, yang ketika itu masih lagi dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA), menerima 12 peratus kurang hasil daripada bon bernilai RM5 bilion yang diterbitkan kerana diskaun 12 peratus.

Shafee kemudian menambah: "Rakyat Malaysia ditipu sebanyak dua kali. Pembeli akhirnya adalah entiti Malaysia iaitu (KWSP), syarikat insurans Malaysia, Perkeso, mereka dibeli pada nilai muka (face value)."

Najib menghadapi 25 tuduhan jenayah pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa atas dakwaan menyelewengkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Jho Low, yang didakwa sebagai salah seorang konspirator Najib, masih dalam buruan pihak berkuasa.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS