Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Jika saya berbual dengan cucu saudara saya yang baru berumur empat tahun itu, memang sengaja saya lazimkan berbahasa Inggeris dengan dia.

Tujuan saya agar Orked memahami dan tahu berbahasa Inggeris nantinya. Namun jika saya punya peluang dating dengan si manis Maya Karin, tetaplah saya akan berbahasa Melayu dengan dia.

Jika Maya bertanya sama ada saya boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, segera akan saya jawab begini : I do speak broken English perfectly.

Kamu tenang-tenang saja Maya. Saya pasti kamu akan bersenang hati kalau dapat bertemu saya si lelaki tua dari belantara ini.

Maya, manusia selalu boleh saja membeli pengetahuan, tapi belum tentu kita boleh memperoleh kebijaksanaan. Apa lagi kematangan. Mendapatkan kematangan dan kewarasan ini perlukan proses dalaman.

Pengetahuan sekadar alat bantu, dan kita perlu pandai menggunakannya untuk membina jati diri kita. Dengan proses yang betul - dan dengan izin Allah - terbinalah sifat keinsanan seseorang.

Saya ini orang yang membesar dalam belantara. Kerjaya itu membawa saya terlibat dengan banyak program alam semula jadi. Baru-baru ini saya diminta membawa sekumpulan bakal guru menyertai perkhemahan Bina Insan Guru (BIG).

Bakal berbakti pada anak bangsa

Institiut Pendidikan Guru Kuala Lipis memang selalu mengunakan khidmat saya untuk mengendalikan sesi kembara alam bagi para pelajar mereka.

Sebagai seorang pencinta alam yang tegar, saya berasa sangat bertuah diberikan peluang sebegini.

Ia bukan semata-mata mencari sesuap rezeki tetapi lebih daripada itu saya berpeluang menitipkan serba sedikit pengetahuan kepada mereka agar ia kemudian diperpanjangan kepada generasi berikutnya.

Sesungguhnya generasi berikutlah yang akan mewarisi khazanah alam kita ini.

Bersama sekumpulan guru daripada masyarakat pribumi, minggu lalu saya membawa mereka meneroka Taman Negara. Mereka adalah bakal guru yang datang daripada suku kaum Jakun, Orang Kuala, Semai dan Semelai.

Dalam bilangan belasan orang perserta itu, cuma ada seorang saja lelaki. Usia mereka dalam lingkungan awal 20-an. Mereka itu bakal dihantar bertugas di kawasan-kawasan petempatan orang asli di seluruh pelusuk semenanjung.

Awalnya saya memang amat teruja kerana dapat bersama-sama anak pribumi itu dan berasakan kami akan berkongsi maklumat-maklumat tentang flora dan fauna.

Sungguhpun saya ini selalu berada dalam belantara, kuliah saya mengenai alam sekitar belum berakhir. Dewan kuliah saya berbumbungkan langit dan tidak bertembokkan dinding.

Masih banyak lagi ilmu yang belum saya ketahui. Barangkali mereka akan dapat membantu saya di mana perlu.

Suara bertingkah dengan riang-riang

Namun hasrat hati untuk mendapatkan maklumat lain tentang alam daripada anak-anak pribumi ini ternyata berderai penyudahnya.

Pada permulaan sesi saya sengaja mengumpan dengan soalan sama ada mereka mengenali gadis muda dari Sweden bernama Gretha Thundberg itu.

Tiada seorang pun tahu.

Ia agak mengejutkan kerana bagi saya sebagai bakal pendidik mereka patut tahu serba sedikit mengenai isu-isu semasa, apa lagi jika ia melibatkan alam sekitar.

Saya masih teringat, pada zaman saya dulu kami boleh berbual mengenai hal-hal penting di luar kelas-kelas sekolah walaupun ketika itu kami giat menyiapkan diri untuk mengambil peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE).

Episod-episod berikutnya juga saya dihidangkan dengan pelbagai kejutan. Misalnya dalam aktiviti kembara alam selama kurang lebih tiga jam saya gagal mendapat perkongsian maklumat daripada mereka.

Pengetahuan mereka tentang flora dan fauna boleh dikatakan pada tahap nil.

Kerumunan pacat-pacat saja sudah menjadi malapetaka buat anak-anak pribumi yang bakal menjadi pendidik itu. Didatangi pacat mereka ketakutan bagai diserang makhluk asing.

Maka gempita jeritan mereka saling bertingkah dengan nyaring riang-riang rimba pada pagi itu.

Tidak terdetik sedikit pun di hati saya mahu merendah-rendahkan mereka, sebaliknya dalam benak ini saya bersimpati. Manusia hari ini - termasuk kita semua - semakin jauh dari alam sekitar.

Ikatan kita dengan alam makin longgar.

Secara peribadi saya yakin ada masalah dan kelompongan dalam sistem pendidikan dan budaya kita. Ia menjadikan kita kurang cakna kepada aspek kelestarian hidup.

Sangat membimbangkan jika anak-anak pribumi kita nantinya terus terpisah daripada akar umbi yang diasaskan nenek moyang mereka yang sangat akrab dengan alam.

Think about it.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang berminat melukis sambil sesekali menulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS