Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mustahil dapat tambah subsidi kalau kurangkan cukai - PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tidak mungkin bagi kerajaan mengurangkan cukai dan pada masa yang sama meningkatkan subsidi.

Beliau berkata harus ada keseimbangan antara cukai dan subsidi agar kerajaan dapat menjana pendapatan dan memberi subsidi.

"Apa yang rakyat mahu adalah cukai yang lebih rendah dan lebih subsidi, itu tidak mungkin. Kita tidak boleh mengurangkan cukai dan menambah subsidi.

"Kita akan cuba kurangkan cukai tetapi kerajaan mesti mempunyai wang jika kita mahu memberi subsidi," katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir menjawab soalan mengenai Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen esok.

Mengenai cukai, perdana menteri berkata kerajaan akan mengenakan cukai ke atas golongan yang berpendapatan tinggi.

"Itu prinsip di sebalik cukai kita," katanya.

Mengenai subsidi kerajaan, Mahathir berkata ia akan diperluaskan kepada kumpulan yang layak.

"Kita akan tentukan siapa yang akan menerima subsidi kerajaan.

"Dalam kalangan B40 sendiri terdapat mereka yang tidak memerlukan subsidi, dan kami akan mengkaji secara teliti siapa yang harus menerima subsidi daripada kerajaan," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian apabila merujuk kepada senarai harapan pra-Belanjawan 2020 yang dijalankan oleh media yang mendapati responden mahukan cukai yang lebih rendah dan subsidi yang lebih tinggi, terutama barangan keperluan termasuk beras, tepung, minyak masak dan lain-lain.

Sementara itu, mengenai tawaran untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu menilai semua cadangan dengan rapi.

"Terdapat banyak cadangan untuk mengambil alih PLUS. namun kerajaan perlu memastikan wang kerajaan digunakan dengan bijak, bukan hanya kerana kita mahu melindungi kerajaan atau menentang pembida tertentu.

"Ia mesti dinilai dengan baik dan jika tawaran sektor swasta itu baik, kami akan mempertimbangkannya," kata Perdana Menteri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS