Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tangkap Ramasamy sekali, kata pemimpin PAS
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 1:35 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali mahu pihak polis menahan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy kerana didakwanya turut terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Selain terlibat, katanya, pemimpin DAP itu juga kerap kali mengeluarkan kenyataan yang cuba untuk mengapi-apikan kaum India di negara ini.

"Saya berpandangan bahawa yang lebih utama untuk ditahan ialah Adun Perai iaitu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy kerana selain terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas LTTE, dia juga turut... "

Khairuddin kemudiannya menyenaraikan 20 kenyataan yang pernah dikeluarkan Ramasamy di portal-portal berita dan media sosial yang didakwanya berbaur hasutan dan perkauman.

Antaranya, kata pemimpin PAS itu, Ramasamy cuba untuk mengapi-apikan kaum India, penganut agama Hindu serta bukan Melayu dan Islam di negara ini.

"(Dia) mengapi-apikan penganut agama Hindu dengan menyebut beratus-ratus dan beribu-ribu kuil Hindu telah dirobohkan di seluruh di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dan 2000-an sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya, pendirian Ramasamy berhubung perobohan kuil bersejarah di Seafield sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima penganut agama itu juga boleh dianggap sebagai cubaan untuk mengapikan kaum India di negara.

Ramasamy juga katanya, turut mengapi-apikan penganut agama bukan Islam di negara ini dengan kenyataannya yang mendakwa ruang-ruang untuk penganut agama bukan Islam sedang semakin disekat.

Selain mengapi-apikan kaum India dan masyarakat bukan Islam, Khairuddin juga menuduh Ramasamy cuba menghasut pemimpin-pemimpin negara dalam beberapa isu seperti pengajaran khat di sekolah dan perkara yang melibatkan pendakwah Islam, Dr Zakir Naik.

"(Dia) mengapi-apikan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam supaya menentang perdana menteri dalam isu pengajaran khat di sekolah dan isu Dr Zakir Naik dengan mencabar mereka menyanggah beliau dalam kabinet.

"Tulisan-tulisan Dr P Ramasamy ini tersebar luas, boleh dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia di seluruh dunia.

"Dan (kenyataan) boleh mempengaruhi pembacanya dengan kedudukan beliau selaku Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP serta dengan kedudukan beliau selaku bekas seorang profesor," katanya.

Ramasamy, semalam dilapor menegaskan beliau tidak gentar sekiranya dia turut ditangkap oleh pihak polis susulan penangkapan mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

"Saya mungkin ditahan. Tak mengapa. Bagi saya, perjuangan saya sesuatu yang mulia. Saya juga simpati terhadap Palestin dan Rohingya.

"Apabila saya bersimpati dengan orang Islam di Mindanao dan Aceh, tiada siapa yang berkata apa-apa. Tetapi ramai pula yang bising bila ia membabitkan etnik Tamil. Ini double standard,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah menurut Ramasamy, penglibatannya dengan kumpulan itu hanya dalam proses damai di Sri Lanka dan dia memaklumkan turut mengambil bahagian dalam usaha yang sama di Filipina dan Colombia.

Semalam, tujuh individu termasuk dua ADUN DAP - Exco Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran - ditahan dalam operasi polis Bukit Aman disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS Pusat turut membidas tindakan dua Adun DAP yang didakwa terlibat dengan kumpulan LTTE itu.

“Dewan Ulama PAS Pusat menyatakan rasa kesal kerana Adun DAP Kawasan Gadek dan Adun DAP Seremban Jaya ini adalah pemimpin yang menguruskan masyarakat tetapi didakwa terlibat mempunyai ideologi ekstremisme.

“Oleh itu kami dengan tegas mendesak agar YB Saminathan, Adun DAP kawasan Gadek dan Adun DAP Seremban Jaya, P Gunasekaran meletak jawatan kerana rakyat Malaysia seluruhnya menolak mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kegiatan ekstremis, teroris dan militan,” kata ketuanya, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh, LTTE yang diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran adalah kumpulan pengganas yang beroperasi dengan menggunakan senjata api dan bom serta antara kumpulan yang diharamkan oleh 32 buah negara termasuk Malaysia.

Justeru, katanya, PAS mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan mana-mana rakyat Malaysia sama ada secara langsung ataupun tidak di dalam kumpulan itu.

Lihat Komen
ADS