Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Lim akhiri ucapan Bajet dengan gesa rakyat M'sia bersatu
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 4:09 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

LANGSUNG BAJET 2020 

6.35 petang: Lim mengakhiri ucapannya dengan mengulangi kelebihan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Beliau menggesa rakyat Malaysia agar bersatu untuk memastikan kejayaan Malaysia Baru.

Persidangan Dewan Rakyat disambung semula pada Isnin.


6.30 petang:  Semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan. 

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020.

Manakala bayaran secara one-off RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta.


6.25 petang: Bantuan khas sebanyak RM500 akan diberikan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah. 

Manakala bantuan khas RM250 diberikan untuk pesara kerajaan dan termasuk veteran yang tidak berpencen.


6.22 petang: Peruntukan untuk Program Pembangunan Bola Sepak akan menerima RM45 juta tahun depan berbanding RM15 juta tahun ini.

Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM179 juta bagi persediaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA 2021 di Hanoi.

RM10 juta akan diperuntukkan untuk membangunkan program sukan wanita.


6.20 petang: Had bagi warga asing untuk membeli hartanah di negara ini dikurangkan daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Lim berkata langkah ini bertujuan mengurangkan kondominum bernilai RM8.3 bilion yang tidak terjual.


Skim RTO untuk pembeli rumah pertama

6.15 petang: Skim Sewa Untuk Beli (RTO) bagi pemilikan rumah akan diperkenalkan pada tahun depan.

Skim ini membolehkan pemilik rumah pertama menyewa hartanah berharga di bawah RM500,000 selama lima tahun sebelum mereka diberi pilihan membeli unit itu pada harga yang dinyatakan dalam perjanjian sewa.

Institusi kewangan akan memperuntukkan RM10 bilion untuk skim ini dan kerajaan akan menjamin 30 peratus (RM3 bilion) daripada dana berkenaan.


Nombor Pengenalan Cukai akan diperkenalkan

6.12 petang: Mulai Januari 2021, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif Nombor Pengenalan Cukai atau Tax Identification Number (TIN) untuk semua perniagaan atau individu yang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai hasil pendapatan.


Cukai golongan terlalu kaya dinaikkan

6.10 petang: Kadar cukai bagi kumpulan yang memiliki pendapatan RM2 juta ke atas akan dinaikkan kepada 30 peratus, meningkat daripada 28 peratus pada masa ini.

Ini dijangka akan memberi kesan hanya kepada 2,000 orang.

Pada 1 Jan, cukai digital yang baru akan berkuat kuasa.

Bilangan cabutan khas bagi pengendali loter dikurangkan daripada 11 hingga 8 kali setahun.


Peruntukan RM2.7b untuk selesaikan hutang 1MDB

6:08 petang: Lim menyalahkan pentadbiran sebelum ini kerana menyebabkan negara menanggung hutang berjumlah RM150 bilion akibat skandal 1MDB.

Kerajaan akan memperuntukkan RM2.7 bilion pada tahun 2020 untuk menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC International. Lim mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberikan sumbangan RM203 juta kepada Tabung Harapan dan berkata dana itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman berkenaan.

Kerajaan  sebelum ini tgelah memperoleh semula kira-kira RM1.45 bilion daripada dana dan aset berkaitan 1MDB.

Lim berkata kerajaan akan terus mendapatkan lebih banyak wang dan mengambil tindakan undang-undang terhadap bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Goldman Sachs.


RM85 juta untuk selesaikan masalah kesesakan Tambak Johor

6.05 petang: Kerajaan akan membelanjakan RM85 juta untuk menaik taraf perkhidmatan kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang Tambak Johor-Singapura.

50 kaunter imigresen tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal.

Dalam jangka masa panjang, Pakatan Harapan akan meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) tetapi tiada maklumat lanjut diumumkan.


RM30 dan RM12 sebulan subsidi minyak untuk penerima BSH

5.50 petang: Program Subsidi Petrol (PSP) Bersasar: Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi 2 kereta dan 2 motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.

Bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol sebanyak RM30/bulan untuk pemilik kereta atau RM12/bulan untuk pemilik motosikal dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

Bagi pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, Kad95 membolehkan mereka menikmati subsidi 30sen/liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.


Diskaun 18% di lebuh raya Plus

5.45 petang: Rakyat bakal menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik Plus. Bagaimanapun tiada perincian didedahkan menteri kewangan, manakala tarikh pelaksanaan juga tidak diumumkan. 

 

Kerajaan juga kata Lim akan mengambil alih empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART).


Skim insurans MySalam diperluaskan

5.35 petang: Skim insurans MySalam diperluaskan supaya mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal menerima bayaran tunai sebanyak RM8 ribu.

Mereka yang dirawat di hospital kerajaan, bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari boleh dituntut.

Had umur bagi skim ini juga dinaikkan daripada 55 tahun kepada 65 tahun.


Subsidi RM60 juta untuk vaksin pneumococcal

5.40 petang: Peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta akan disediakan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.

Kos vaksin berkenaan pada masa ini di klinik swasta adalah sekitar RM325 bagi setiap dos.


Elaun guru Kafa dinaikkan, Imam dapat RM500

5.35 petang: Elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) dinaikkan kepada RM100 sebulan untuk seramai 33,200 guru Kafa. 

Sementara itu bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 diberikan kepada setiap Imam, Bilal (Muazzin), Tok Siak/Noja/Merbot (penjaga masjid) dan Guru Takmir.


Kadar pemberian khas Sabah, S'wak digandakan

5.30 petang: Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak belum pernah disemak semula.

Buat pertama kalinya, kerajaan PH bercadang menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.


Bantuan RM300 untuk golongan bujang, OKU

5.25 petang: Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memperluaskan skim tersebut kepada 1.1 juta individu bujang berumur melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

Bagi orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan juga layak menerima bayaran BSH sebanyak RM300.


Gaji minimum dinaikkan di bandar-bandar utama

5.25 petang: Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 di bandar-bandar utama mulai 2020. 

Kerajaan akan mengkaji pindaan kepada Akta Kerja 1955 untuk meningkatkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari; dan melindungi pekerja dari gangguan seksual dan diskriminasi.


Peruntukan untuk Kementerian Pendidikan naik kepada RM64.1b

5.20 petang: Seperti tahun-tahun sebelumnya, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dengan tahun ini sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan berbanding RM60.2 bilion pada tahun lepas.

 


5.10 petang: Insentif baru yang dikenali sebagai #MalaysiaKerja bagi syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja tempatan diperkenalkan.

Skim ini bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.


5.00 petang: Untuk menggalakkan lebih ramai pelancong, kerajaan akan menawarkan insentif cukai kepada pelaburan baru di taman-taman tema dan penganjur aktiviti kebudayaan dan sukan antarabangsa.

Syarikat-syarikat yang menyokong aktiviti seni dan budaya juga akan diberi insentif cukai.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk projek kereta kabel baru di Bukit Bendera Pulau Pinang bagi menggantikan kereta kabel sedia ada. Ini mencetuskan ketidakpuasan hati anggota parlimen pembangkang.


4.55 petang: Elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.


Insentif untuk usahawan Bumiputera

4.50 petang: SME Bank akan memperkenalkan dua dana baru - RM200 juta untuk usahawan wanita dan RM300 juta bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai potensi, dengan keutamaan diberikan kepada produk halal tempatan.



RM810 juta untuk peneroka Felda

4.52 petang: Kerajaan memperuntukan RM810 juta untuk memperbaiki taraf kehidupan peneroka Felda, termasuk menambahkan pendapatan, menghapuskan sebahagian hutang mereka, memulihkan bekalan air, membaiki rumah dan menambaik kemudahan infrastruktur.


4.45 petang: Untuk menggalakkan penggunaan e-Dompet, kerajaan akan memberikan golongan dewasa yang mempunyai pendapatan tahunan kurang RM100,000 dengan kredit RM30 (Sekali bayar) dalam e-Dompet mereka. Ia boleh ditebus dari 1 Jan 2020 hingga 29 Feb 2020.


4.40 petang: Pelbagai geran untuk inisiatif digital. RM50 juta untuk pembangunan ekosistem 5G, RM20 juta bagi MDEC, RM25 juta untuk projek-projek perintis untuk aplikasi digital yang memanfaatkan infrastruktur gentian optik dan 5G.

 


RM10 juta untuk latih usahawan mikro-digital

4.35 petang: RM10 juta disediakan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi bagi memanfaatkan e-Marketplaces dan platform media sosial.

Bagi mengiktiraf potensi tinggi e-Sukan, kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM20 juta. 


4.30 petang: Lim berkata RM250 juta diperuntukkan untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit untuk meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, terutamanya Sabah dan Sarawak.


4:28 petang: Kerajaan menjangka akan membelanjakan RM8 bilion untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan dan menjadikan Pelabuhan Klang dan Pulau Carey sebagai pusat maritim serantau dan hab logistik kargo.


Kerajaan tak akan perkenalkan semula GST

4.25 petang: Lim berkata kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).


4.20 petang: Kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 5 tahun bagi menarik syarikat Fortune 500 dan 'global unicorns' dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baru.


4:11 petang: Pembangkang protes Lim kerana salahkan BN

Kurang lima minit selepas berucap, Lim terpaksa berhenti seketika apabila ahli-ahli parlimen pembangkang membuat bising apabila beliau menyalahkan kerajaan terdahulu kerana menyebabkan hutang dan rasuah.

Walaupun Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof cuba menenangkan keadaan, ahli-ahli parlimen pembangkang terus mempersoalkan Lim.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini dijadual membentangkan Bajet kedua kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Rakyat sejak gabungan itu berkuasa.

Sebanyak RM297.020 bilion diperuntukkan untuk Bajet 2020, iaitu penurunan 5.57 peratus berbanding peruntukan sebanyak RM314.55 bilion dalam Bajet 2019.

Walaupun kelihatan menguncup, kerajaan sebenarnya tidak mengurangkan perbelanjaan pada operasi normal dan perbelanjaan pembangunan.

Pengurangan ini sebaliknya adalah kerana ketiadaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan bayaran balik cukai pendapatan, yang berjumlah RM37 bilion dalam bajet yang lalu.

Berbanding bajet lalu, Bajet 2020 adalah lebih besar dengan 6.99 peratus (Lihat penjelasan digambarkan Malaysiakini di sini).

Bagaimanapun, usaha menutup pengurangan daripada pemansuhan GST masih merupakan cabaran kerajaan dalam Bajet 2020.

Sekilas pandang:

  • Jumlah bajet untuk 2019: RM297.020 bilion (tidak termasuk RM2 bilion dana luar jangka), penurunan 5.57%.
  • Perbelanjaan operasi: RM241.020 bilion, turun 7.25%.
  • Perbelanjaan pembangunan: RM56 bilion, meningkat 2.32%.
  • Defisit diunjurkan bagi tahun 2020: 3.2% (disemak semula dari 3.0%)








.



Lihat Komen
ADS