Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hilang semua kerana ‘salah tangkap’, polis nafi

Dua beranak dari Petaling Jaya mengadu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), mendakwa mereka menjadi mangsa “salah tangkap” dan “hilang semuanya” selepas gambar mereka di balai polis tular.

“Kerana tindakan tidak bertanggungjawab oleh polis, keluarga saya hampir kehilangan 'semua'.

"Semua kontrak bapa saya dibatalkan. Pertunangan adik lelaki yang didakwa dalam kes ini dibatalkan.

“Manakala, majlis pendaftaran perkahwinan adik perempuan saya juga menjadi tanda tanya. Semua ini kerana kecuaian polis," dakwa jurucakap keluarga P Maithilli.

Maithilli, 33, ialah anak dan kakak kepada dua penurap jalan itu - R Pukalanthee dan Linggeswaran. Kedua-dua mereka turut hadir ke Suhakam hari ini.

P Maithilli

Dalam kes itu, kata Maithilli, berkata bapanya Pukalanthee dan Linggeswaran ditahan polis di Kangar pada 21 September lalu selepas dikaitkan dengan kes cubaan culik seorang remaja perempuan 15 tahun di Kampung Tok Kandang, Kangar.

Maithilli berkata bapa dan adiknya itu pergi ke Perlis untuk mencari pelanggan.

"Kami menghormati undang-undang. Tetapi, isunya di sini bapa dan adik saya direman selama empat hari dan dipukul serta dipaksa oleh untuk mengakui bahawa cuba menculik seorang remaja berusia 15 tahun.

"Gambar yang diambil polis semasa siasatan ditularkan dalam media sosial. Ada juga laporan media mengatakan bahawa cubaaan menculik remaja berjaya dipatahkan oleh polis. Mereka juga didakwa mempunyai rekod jenayah yang lampau.

"Namun, selepas empat hari, mereka dibebaskan kononnya disalah tangkap.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy dan peguam mewakili keluarg Shashi Devan.

Buat repot, bukan buat sidang media, kata polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Wari Kiew ketika dihubungi Malaysiakini menafikan pihak polis salah membuat tangkapan.

"Kita telah menangkap suspek ini berpandukan laporan polis. Dan kita bawa (suspek) ke mahkamah untuk mendapatkan arahan reman.

“Kita telah membuat siasatan secara telus mengikut undang-undang," katanya.

"...Tidak ada perkataan salah tangkap. Jadi, pihak Suaram tidak puas hati, suruh datang buat laporan polis. Kita akan buat siasatan secara telus," tambah beliau.

Wawi turut memberi reaksi yang sama ketika ditanya berkenaan gambar orang kena tuduh yang diambil di balai menjadi tular dalam media sosial.

"Ada apa-apa suruh dia datang buat laporan polis, jangan buat PC (sidang media), kalau tidak saya akan buat repot," katanya.


Laporan tambahan oleh Faisal Asyraf.

Lihat Komen
ADS