Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
India kecewa ucapan Dr M di PBB, rancang larang import minyak sawit - Sumber

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif memadamkan kenaikan sebelumnya untuk ditutup rendah hari ini susulan berita bahawa India merancang untuk melarang import minyak sawit daripada Malaysia, kata peniaga David Ng.

"Berita itu memberikan kesan negatif terhadap permintaan India bagi minyak sawit Malaysia, sekali gus menekan harga turun lebih rendah dan stok meningkat, terutamanya semasa tempoh belian penting menjelang sambutan Deepavali,” katanya kepada Bernama.

Berita itu tersebar selepas satu sumber berkata kerajaan India kecewa dengan Malaysia selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan lepas bahawa India telah ‘menceroboh dan menduduki’ Jammu dan Kashmir dan meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu itu.

India, yang mengimport kira-kira 150,000 tan sebulan, ialah pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia.

Berita bahawa mahkamah perlembagaan Perancis hari ini mengekalkan undang-undang untuk mengeluarkan minyak sawit daripada skim bahan api bio akan memberi tekanan selanjutnya terhadap harga dan permintaannya di masa depan.

Mahkamah menolak rayuan dikemukakan syarikat tenaga Total TOTF.PA, yang menyatakan langkah itu merisikokan tapak pengeluarannya di selatan Perancis.

Undang-undang itu akan memgeluarkan minyak sawit daripada senarai bahan api bio yang dibenarkan mulai Januari 2020 dan memansuhkan keistimewaan cukai berkaitan.

Ng berkata paras sokongan bagi MSM dikesan pada RM2,100 satu tan dan paras rintangan pada RM2,230 satu tan.

Semasa urus niaga ditutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi Oktober 2019 dan November 2019 masing-masing turun RM17 kepada RM2,118 dan RM2,149 satu tan, Disember 2019 jatuh RM16 kepada RM2,185 satu tan dan Januari 2020 susut RM11 kepada RM2,233 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 37,559 lot daripada 31,353 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka naik kepada 226,076 kontrak daripada 218,637 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan kekal tidak berubah pada RM2,130 satu tan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS