Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC persoal tangkapan individu 'bersimpati' pada LTTE
Diterbitkan:  Oct 12, 2019 8:57 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Presiden MIC, SA Vigneswaran menyuarakan kebimbangan mengenai penangkapan dua Adun DAP yang disyaki mempunyai kaitan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Vigenswaran berkata bahawa LTTE ditubuhkan di Sri Lanka sebagai tindak balas terhadap pembunuhan dan penindasan komuniti Tamil di sana.

"Ia dikatakan akan menjadi penghapusan etnik dan tragedi kemanusiaan yang tragik," katanya.

Tambahnya, berdasarkan latar belakang itu, orang-orang Tamil di seluruh dunia mengadakan doa dan perhimpunan untuk berdoa untuk keselamatan orang-orang Tamil di Sri Lanka.

Simpati ini, katanya, memberi sokongan kepada LTTE.

"Perlu diingat bahawa diaspora Tamil di seluruh dunia yang bersimpati dengan LTTE bukanlah pengganas dan tidak menyokong dan menjana kegiatan pengganas.

"Mereka semata-mata menunjukkan sokongan bagi tujuan untuk menamatkan penderitaan rakan-rakan Tamil mereka.

"Bolehkah sesiapa ditangkap kerana menunjukkan simpati?" soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Pada Khamis lalu, polis menahan tujuh individu termasuk Exco Kerajaan Negeri Melaka G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) (Sosma). Lima lagi ditahan hari ini menjadikan jumlahnya seramai 11 orang.

Semasa dibentuk untuk memerangi penindasan orang Tamil di Sri Lanka, LTTE juga telah dilabel sebagai organisasi pengganas oleh beberapa negara asing.

LTTE tidak aktif sejak 2009 selepas kumpulan itu dikalahkan dan pemimpinnya Prabhakaran Velupillai terbunuh, menandakan berakhirnya perang saudara Sri Lanka.

Dengan perang saudara yang tamat dan tujuan LTTE dipatahkan, Vigneswaran mempersoalkan rasional mana-mana pihak yang ingin memulihkan organisasi itu.

"Kenapa mereka mahu membangkitkan organisasi ini tanpa tujuan?" soalnya.

Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara berkata jika terdapat bukti kukuh bahawa mereka yang ditangkap terlibat dalam kegiatan pengganas, mereka mesti disabitkan di mahkamah.

Beliau juga berkata polis mesti mengurangkan daripada menggunakan Sosma melainkan jika perlu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata bahawa polis mempunyai bukti kukuh jalankan siasatan LTTE.

Vigneswaran juga meminta polis supaya mengadakan program kesedaran, agar rakyat tahu sempadan antara bersimpati dengan agenda minoriti antarabangsa dan menyokong keganasan.

Lihat Komen
ADS