Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik flat kos rendah adu cukai, yuran selenggara tinggi

Sejumlah 50 penghuni flat kos rendah mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyuarakan kesusahan yang dihadapi mereka.

Antaranya berkaitan cukai dan bayaran penyelenggaraan yang membebankan, seperti yang disuarakan salah seorang pemilik flat, Adli Nasir.

"Jika saya tahu bebannya berat seperti ini, lebih baik saya beli rumah di kampung saja.

"Saya harap kerajaan dapat fikirkan hal ini kerana kami rata-ratanya golongan B40," katanya ketika sesi dialog anjuran Jaringan Flat Kos Marhaen di Kuala Lumpur, semalam.

Seorang lagi pemilik, Sukumaran berkata kerajaan harus meneliti semula kadar cukai yang dikenakan terhadap penghuni flat kos rendah.

"Kami kebanyakannya golongan B40, jadi harap dapat diteliti semula cukai dan harga penyelengaraan dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebab bagi kami ia terlalu tinggi," katanya yang memiliki flat kos rendah di Selangor.

Adli dan Sukumaran merupakan penghuni dan pemilik yang menyertai sesi dialog selama dua jam bersama JMB dan wakil KPKT anjuran Jaringan Flat Kos Marhaen yang berlangsung kira-kira dua jam.

Jaringan Flat Kos Marhaen mewakili kira-kira 45 buah flat kos rendah dari Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Antara cadangan yang diutarakan ialah pemilik hanya perlu membayar dua cukai iaitu cukai taksiran (dua kali setahun) dan cukai tanah (sekali setahun).

Peruntukan bantu JMB

Menurut penduduk, mereka kini perlu membayar yuran penyelenggaraan, cukai taksiran dan cukai tanah.

Selain itu, penduduk turut mencadangkan agar kerajaan memberi peruntukan bagi membantu JMB.

Jelas penduduk, meskipun alternatif seperti Skim Ceria Kerajaan Selangor atau Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) telah dilaksanakan kerajaan, namun pihak JMB masih menghadapi kesukaran dana untuk membaik pulih kerosakan seperti masalah bumbung atau pendawaian di kawasan perumahan.

JMB ialah badan pengurusan yang diwakili oleh pemilik bangunan dan wakil pihak pemaju mengikut Akta 663 Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan).

Antara lain ia berperanan membuat tuntutan pampasan serta menentukan kadar yuran penyelenggaraan dan menyimpannya dalam tabung pengurusan bangunan untuk diaudit.

Kebanyakan dari golongan B40

Pengerusi Jaringan Flat Kos Marhaen S Arutchelvan berkata masalah yang dihadapi penghuni flat kos rendah sudah berlanjutan sejak sekian lama.

“Isu pokok di sini ialah pemilik flat perlu bayar cukai yang lebih banyak berbanding pemilik rumah teres kos rendah.

"Ini sukar buat mereka kerana kita maklum kebanyakannya di kalangan golongan B40," katanya yang juga anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Menurut laporan yang disediakan Jaringan Flat Kos Marhaen, kadar jumlah cukai yang perlu dibayar pemilik flat kos rendah di Selangor jauh berbeza berbanding pemilik di Perak.

“Jika lihat rumah pangsa kos rendah di Ipoh, jumlah cukai tahunan termasuk bayaran penyelenggaran adalah RM424.60, tetapi jika di Klang dan Kajang bayaran tersebut mencecah RM600 lebih,” katanya.

Katanya lagi, masalah itu turut memberi kesan kepada JMB kerana jika penduduk tidak membayar yuran penyelengaraan, maka sukar untuk mereka menjelaskan yuran insurans dan membuat audit tahunan.

Sementara itu, pegawai tugas-tugas khas KPKT Mohd Zamry Sulaiman berkata setiap permintaan dan cadangan pemilik dan penghuni yang hadir akan dibawa kepada menterinya Zuraida Kamaruddin.

Lihat Komen
ADS