Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tamatkan kontrak syarikat susulan kes kebocoran data peribadi
Diterbitkan:  Oct 14, 2019 10:59 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Ramai rakyat Malaysia yang mungkin sedar akan meningkatnya penipuan menerusi panggilan telefon, atau scam, beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemanggil memiliki maklumat peribadi anda, antaranya nombor MyKad.

Ia tidak mengejutkan apabila data peribadi kebanyakan pengguna telefon dibocorkan daripada sistem milik syarikat yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melindungi pengguna, pada 2017.

Kerajaan telah menamatkan kontrak dengan syarikat itu, Nuemera (M) Sdn Bhd, dan siasatan jenayah berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Perkara itu disahkan dalam jawapan bertulis Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini.

Soalan Fahmi berkenaan bagaimana Nuemera, yang dilantik kerajaan untuk melaksanakan sistem Sekatan Perkhidmatan Selular Awam (PCBS), gagal menjamin keselamatan data peribadi milik 46.2 juta pengguna perkhidmatan telekomunikasi, sehingga maklumat itu bocor.

Beliau juga bertanya apakah tindakan yang dikenakan terhadap syarikat itu.

Dilancarkan pada Februari 2014, PCBS adalah inisiatif SKMM untuk menyediakan perkhidmatan yang membolehkan telefon yang dicuri disekat daripada membuat panggilan, menghantar pesanan atau melayari internet - walaupun kad sim di dalamnya telah ditukar.

Untuk itu, Malaysian Central Equipment Identity Register (MCEIR) telah diwujudkan. Ia adalah pangkalan data nombor International Mobile Equipment Identity (IMEI), siri unik yang mampu mengenal pasti setiap telefon bimbit di negara ini.

Semua syarikat telekomunikasi utama di Malaysia telah menyerahkan nombor IMEI dan juta data peribadi lain - seperti nama, nombor telefon, alamat rumah dan nombor MyKad - untuk sistem itu.


BacaKebocoran data berkaitan sekat telefon SKMM


Jawapan bertulis yang disediakan itu tidak memperincikan bagaimana kebocoran berlaku tetapi berkata tindakan telah diambil terhadap Nuemera, susulan siasatan oleh SKMM, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan polis.

"Susulan siasatan itu, SKMM pada 26 Januari 2018 telah menggantung pelantikan Nuemera kerana didapati telah melanggar fasal-fasal asas dalam kontrak perjanjian antara SKMM dan Nuemera yang telah ditandatangani.

"Pada 21 Mei 2018, SKMM seterusnya telah mengeluarkan notis kepada Nuemera atas keputusan SKMM untuk tidak memperbaharui Perjanjian PCBS tersebut untuk tempoh 5 tahun lagi, sebagaimana opsyen terdapat dalam kontrak perjanjian," kata jawapan bertulis itu.

Bagi siasatan jenayah pula, kementerian itu berkata JPDP telah menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 9 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kata kementerian itu lagi, perkara itu juga disiasat mengikut seksyen 130 akta sama berkenaan pengumpulan data peribadi yang bercanggah dengan undang-undang serta Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 berkenaan "capaian tanpa kuasa (authority) dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut".

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan dalam tindakan AGC."

Pada November 2017, Malaysiakini menyemak data yang bocor dan menemui bukti bahawa ia berkaitan dengan PCBS di bawah SKMM, yang menyerahkan kontrak mengendalikan perkara itu kepada Nuemera.

Lihat Komen
ADS