Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengimport utama minyak sayuran India menyifatkan spekulasi media bahawa kerajaan mungkin mengehadkan import minyak sawit Malaysia sebagai tidak elok untuk perdagangan dan mahukan pendirian rasmi yang jelas berhubung perkara itu.

Khabar angin dan dakwaan tidak berasas yang dilaporkan media memudaratkan kepentingan perniagaan pengimport dan juga pengeksport yang menyebabkan ketidakpastian dalam membuat keputusan dan rantaian bekalan, kata seorang tokoh perdagangan terkemuka kepada Bernama pada Selasa.

“Ia (spekulasi itu) menyebabkan kekeliruan. Kami mahu kerajaan menjelaskan pendiriannya secepat mungkin,” kata Sandeep Bajoria, bekas presiden Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai.

Sementara itu Presiden SEA Atul Chaturvedi berkata beliau tidak tahu sama ada kerajaan India akan mengambil langkah untuk mengehadkan import minyak sawit dari Malaysia.

“Kami tidak ada petunjuk. Kami tidak mendengar sebarang maklumat secara rasmi. Ia akan menjadi satu keputusan politik, tetapi setakat ini kami tidak mempunyai maklumat,” katanya.

Organisasi Chaturvedi mewakili industri penghancur biji minyak India.

Perniagaan menyedari akan kemudaratan yang disebabkan oleh spekulasi itu.

Bajoria berkata hubungan industri yang telah terbina sejak sekian lama mungkin menjadi tegang dan menyebabkan gangguan aliran perdagangan.

“Ia sudah pastinya menimbulkan masalah bagi kedua-dua pihak. Peniaga tidak boleh menangguhkan keputusan perniagaan mereka lebih lama kerana ketidakpastian,” katanya.

Agensi berita Reuters sebelum ini, yang memetik sumber-sumber tidak dinamakan melaporkan bahawa India sedang menimbang mengambil langkah-langkah perdagangan terhadap Malaysia berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini mengenai konflik di Kashmir.

Eksport minyak sawit Malaysia ke India tahun lepas bernilai US$1.65 bilion, menyumbang 18.3 peratus jumlah eksport Malaysia ke negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS