BERITA

Menyemai ganja di hospital Thailand

Rahmat Haron

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Okt 2019, 1:59 tengahari

Di Malaysia isu ganja perubatan masih di tahap perbincangan bermusim, dengan kerajaan dilaporkan masih belum membuat sebarang keputusan bagi membenarkan penggunaan tumbuhan itu bagi tujuan perubatan di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Zulkifli Abdullah semalam, yang turut menjelaskan Kementerian Kesihatan yang akan memutuskan sama ada sesuatu produk diterima sebagai bahan perubatan, seperti mana morfin - sejenis dadah - satu masa dulu.

Pada minggu lalu, wartawan Malaysiakini berpeluang melihat sendiri penanaman ganja untuk perubatan di Hospital Chao Phya Abhaibhubejhr di wilayah Prachin Buri, Thailand.

Ia hospital pertama di negara itu yang memperolehi kelulusan Kementerian Kesihatan Awam untuk membuka klinik ganja perubatan bagi pesakit, selain dibenarkan menanam dan menghasilkan ubat-ubatannya sendiri sejak Jun tahun ini.

Menurut pengarah ladang organik Hospital Chao Phya Abhaibhubejhr, Pinyo Juntavong pusat perubatan itu bukan sahaja menanam ganja tetapi ratusan herba lain dan juga sayur-sayuran untuk bekalan makanan para pesakit yang dirawat di wad.

"Lebih 100 jenis tanaman di samping kanabis, termasuklah sayur-sayuran.

"Penanaman berdasarkan kaedah kebun organik dan mendapat penarafan antarabangsa iFarm dan Amalan Pertanian Baik (GAP). Kami juga membangunkan teknik baka supaya mencapai kecekapan produksi," katanya yang telah bekerja di hospital itu selama lebih 20 tahun.

Pinyo Juntavong di ladang secara greenhouse.

Katanya, ladang sayuran dan herba itu terletak di kawasan kampung di wilayah Prachin Buri serta menggajikan para petani sebagai pekerjanya.

Bagi penanaman ganja pula, katanya lagi, hospital masih membandingkan kos dan hasil antara tiga sistem penanaman iaitu sistem tertutup, greenhouse (secara hidroponik dan tanah organik) dan sistem kebun terbuka.

Hospital berkenaan baru sahaja menyemai benih ganja perubatan untuk produksi ubat pada hujung September lalu selepas menjalankan beberapa uji kaji penanaman.

Tinjauan di Hospital Chao Phya Abhaibhubejhr menunjukkan ladang ganja berkenaan dipagar dan dikawal rapi pengawal keselamatan dengan pemantauan kamera CCTV.

Menurut kakitangan hospital yang bekerja di ladang itu, Warat Noakhan, pemeriksaan ketat dikenakan kepada pekerja yang keluar masuk kawasan ladang.

"Kamu boleh lihat kamera CCTV di mana-mana. Semua direkod 24 jam.

"Sebelum diambil bekerja, sejarah perubatan diperiksa untuk melihat sama ada pernah terlibat dengan penagihan narkotik atau tidak. Jika ada, mereka tidak akan diambil kerja.

"Kami juga akan diperiksa ketika keluar dan masuk ladang serta ujian air kencing secara kerap," katanya.

Warat (gambar, atas) menunjukkan ganja yang disemai di dalam pasu besar berisi tanah organik di dalam sistem terbuka ladang. Terdapat tiga anak pokok yang baru tumbuh di dalam pasu.

"Ganja di sini tinggi kandungan THC (Tetrahydrocannabinol). Ini baka Thai. Ia perlukan sinaran cahaya matahari.

"Kami hanya perlukan tumbuhan betina. Sebab itu di dalam satu pasu ada tiga pokok. Kemudian bila ia mula berbunga kami akan tahu yang mana satu pokok betina, jantan atau khunsa.

"Jadi kami perlu membuang pokok jantan dan khunsa. Hanya satu pokok betina," jelasnya.

Ditanya bagaimana membezakan pokok jantan, betina atau khunsa, Warat berkata bentuk bunganya berbeza.

"Pokok jantan dan khunsa ada bunga juga tetapi struktur bunganya berbeza. Kami boleh kenal dan pisahkannya," katanya sambil menjelaskan jika pokok jantan dan khunsa tidak dibuang, pokok betina itu juga akan bertukar jantinanya.

Menjelaskan baka di ladang tertutup dan sistem greenhouse pula, Warat berkata benihnya diimport dari Belanda dan ganja di situ memiliki kandungan CBD (Cannabidiol) yang tinggi.

"Di dalam sistem tertutup kami menanam benih ganja dengan kandungan CBD yang tinggi, rendah THC dan kami kawal segalanya, suhu, zat tumbuhan, cahaya artifisial.

"Di dalam greenhouse kami mengawal suhu dan cahaya, jika tidak cukup cahaya matahari, kami akan beri cahaya buatan," katanya.

Malaysiakini turut mewawancara Ketua Pusat Perubatan Herba dan Tradisional Thai di Hospital Chao Phya Abhaibhubejhr, Dr Pakakrong Kwankhao (gambar, atas).

Beliau yang juga ahli farmasi perubatan moden itu berkata, hospital tersebut menyediakan khidmat perubatan dan rawatan moden, tradisional atau gabungan antara keduanya.

"Misalnya, jika pesakit datang ke hospital, mereka boleh memilih sama ada mahu dirujuk ke jabatan perubatan tradisional Thai atau mahu berjumla doktor moden.

"Kadang kala doktor moden juga merujuk pesakitnya ke unit tradisional Thai," katanya.

Ditanya mengenai klinik ganja di hospital itu yang dibuka pada 24 Jun lalu, Pakakrong berkata tidak semua penyakit boleh mendapat rawatan di klinik itu.

"Mereka (pesakit) perlu memenuhi kriteria.

"Setakat ini kami buka klinik telah empat kali, sekali setiap bulan. Mulai Oktober ini kami akan beroperasi dua kali sebulan," katanya yang menyasarkan oeprasi sekali seminggu bermula tahun depan.

Menurut Pakakrong lagi, ganja yang digunakan akan diekstrak dan dijadikan minyak dengan kandungan kimia aktif tumbuhan Cannabidiol (CBD) sebanyak 10 peratus dan Tetrahydrocannabinol (THC) sebanyak 1.7 peratus yang berbeza, bergantung kepada jenis penyakit yang dirawat.

Pesakit akan menitiskan minyak itu (dengan dos ditetapkan klinik) ke dalam mulut sebelum tidur.

"Indikasinya berbeza, misalnya untuk sakit epilepsi kami guna minyak CBD. Kami telah mengeluarkan preskripsi 137 botol minyak ganja (setiap satu 5ml) untuk 66 pesakit," katanya.

Antara penyakit yang menggunakan minyak CBD adalah parkinson, sawan, alzheimer dan kejang otot, manakala minyak THC untuk merawat kanser tahap tiga atau empat, sakit saraf neurophatic, tumor, parkinson dan alzheimer.

"Setakat ini hasil rawatan kita klasifikasikan mengikut penyakit, kualiti hidup bertambah sebanyak 76 peratus.

"Bagi pesakit kanser keadaan mereka semakin baik dan stabil," katanya.

Setiap pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan sebelum menerima rawatan berasaskan ganja. Mereka yang mempunyai masalah fungsi ginjal dan hati serta psikosis tidak dibenarkan.

Pesakit juga akan dipantau serta perlu kembali ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Mengulas lanjut, Dr Pakakrong berkata mengikut peraturan kerajaan, rawatan berdasarkan ganja perubatan bukan rawatan utama kepada pesakit.

"Pesakit perlu bermula dengan perubatan moden dengan bukti saintifik yang kukuh dan jika anda tidak dapat memperbaiki keadaan penyakit maka boleh dapatkan rawatan ganja perubatan.

"Hanya jika keadaan mereka tidak membaik selepas rawatan standard atau mereka mendapat kesan sampingan, maka mereka boleh pergi untuk rawatan kanabis.

"Dalam istilah perubatan kami memanggilnya terapi tambahan," katanya lagi.


Bahagian 1: Kenali 'doktor ganja' di hospital herba Thai.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.