Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Nama-nama adiwira barat seperti Ironman, Superman, Batman dan sebagainya sering miniti di bibir generasi milenium hari ini, namun sejauh manakah mereka mengenali tokoh pahlawanan Melayu seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak yang telah banyak menyumbang jasa, keringat, darah dan air mata demi anak bangsa sendiri.

Rata-rata generasi muda hanya mengenal nama pahlawan Melayu tetapi mereka tidak memahami tunjang perjuangan yang dibawa oleh tokoh tersebut yang bukan hanya sekadar untuk mengusir penjajah tetapi memperjuangkan jati diri, maruah bangsa dan agama Islam.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin mengakui bahawa generasi muda hari ini lebih menyanjungi dan mengenali adiwira Barat yang hanya sekadar watak khayalan dalam industri perfileman yang direka bagi tujuan hiburan dan bermotifkan keuntungan semata-mata.

“Saya percaya masih ramai yang pernah mendengar kisah dan nama pahlawan terbilang seperti Hang Tuah, Hang Jebat, (kebijaksanaan Bendahara) Tun Perak dan Panglima Awang (Henry The Black) namun mereka tidak mengenali perjuangan yang dibawa oleh tokoh-tokoh tersebut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata adalah tidak adil sekiranya generasi muda dipersalahkan akibat kejahilan ini kerana mereka kurang mendapat pendedahan yang sewajarnya bagi mengenali serta memahami maksud tersirat yang ingin disampaikan menerusi kisah-kisah keunggulan pahlawan terbilang Melayu itu.

Khalid mencadangkan agar pihak berwajib memainkan peranan masing-masing bagi menyebarkan naratif sejarah itu ke telinga anak muda dan tidak membiarkannya ‘terkunci’ (tersimpan) dalam khazanah ilmu seperti perpustakaan yang hanya dibuka untuk tujuan kajian ilmiah semata-mata.

Katanya tugas tersebut bukan hanya terletak pada bahu pihak berkenaan sebaliknya ia adalah merupakan tanggungjawab bersama dalam mendidik generasi hari ini.

Beliau berkata walau bagaimanapun dalam mencari fakta sejarah perlu diingatkan bahawa pihak berkenaan harus mencari rujukan tempatan dan tidak hanya bergantung kepada rujukan Barat semata-mata dalam mengkaji dan mengenali tokoh pahlawan Melayu.

Dalam usaha untuk mengangkat nilai sejarah kepahlawanan Melayu Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengambil inisiatif sendiri menjadikan Laksamana Hang Tuah sebagai ikon dan simbolik kepada jati diri universiti berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata apa yang dilakukan oleh UTeM adalah bagi menyerap nilai-nilai murni unggul seperti daya juang yang tinggi, berakhlak dan mengangkat adab orang berilmu yang terdapat pada peribadi Hang Tuah ke dalam diri setiap pelajarnya.

Nurulfajar berkata Hang Tuah merupakan representasi kepada ciri-ciri mahasiswa yang ingin dilahirkan iaitu tangkas, unggul, adaptif dan holistik.

“Nilai-nilai ini akan diterapkan kepada semua para pelajar UTeM, seterusnya menjadi satu keunikan, iaitu semua pelajar UTeM yang bertuah adalah ‘TUAH’,” katanya.

Katanya mahasiswa yang dihasilkan seharusnya mempunyai ciri-ciri yang hebat daripada segenap aspek: seimbang antara akademik, kokurikulum serta sahsiah, mereka inilah yang akan bertebaran luas ke seluruh pelusuk negara dan dunia membawa inspirasi dan nilai UTeM.

Beliau berkata semangat Hang Tuah bukan hanya untuk lelaki atau bangsa Melayu. Namun, kepahlawanan TUAH ini merentasi jantina, bangsa, agama dan latar belakang.

“Konsep TUAH ini bukan sahaja diterapkan kepada para pelajar, namun konsep ini ditanamkan kepada seluruh warga UTeM agar semangat dan rohnya mengalir dalam jiwa setiap staf dan pelajar,” katanya.

Katanya adalah menjadi hasrat UTeM untuk melahirkan insan ‘TUAH’ yang profesional, beretika, ihsan dan daya juang yang tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS