Malaysiakini
BERITA

Boleh protes tapi jangan ganggu istiadat universiti - PM

Ramieza Wahid

Diterbitkan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan terdapat tempat khusus sekiranya ingin melakukan protes.

Tambahnya, tidak elok untuk menggangu istiadat formal bagi menyatakan pandangan yang berbeza pada ketika itu.

“Mereka boleh protes tetapi ada tempatnya, jangan ganggu istiadat formal bagi menunjukkan pandangan kita yang berbeza.

“Bayangkan kalau semua yang hadir pada hari graduasi untuk protes tentang sesuatu perkara,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media forum Yayasan Sejahtera 2019 sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang melakukan protes berani dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazahnya baru-baru ini.

Wong Yan Ke, sambil berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Wong berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Sehubungan dengan itu, UM telah membuat laporan polis ke atas tindakan mahasiswa berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata perkara itu seeloknya dibincangkan secara dua hala antara kedua pihak tersebut.

“Saya rasa itu adalah tindakan yang perlu diambil pihak universiti.

“Kita (politik) tidak perlu masuk campur sangat. Mereka bebas buat keputusan sendiri,” katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.