Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelantan mengancam untuk mengemukakan saman baru ke atas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sekiranya tuntutan mereka terhadap royalti minyak tidak diberi seperti yang dijanjikan.

Anggota Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, berkata selepas saman Kelantan terhadap Petronas sebelum ini ditarik balik, pembayaran royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian sepatutnya diteruskan.

Yakin dengan pendirian berkenaan, setiausaha agung PAS itu berkata, Kelantan bersedia mendedahkan surat-surat yang diutus kepada kerajaan persekutuan berhubung isu berkenaan.

"(Sebelum ini) Kelantan tarik balik (saman) atas jaminan kerajaan pusat akan bayar (royalti minyak). Tapi kalau royalti tak dibayar seperti dijanjikan, kerajaan negeri mempunyai hak untuk saman semula.

“Maksud saya, (kalau) nak saman, boleh, sebab ia masih berterusan untuk 2019 sehingga 2020," katanya ketika ditemui media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Takiyuddin, Petronas perlu membayar lima peratus daripada hasil pengeluaran petroleum dari telaga minyak di Kelantan kepada kerajaan.

Katanya, jika royalti itu boleh dibayar kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak mengikut formula tertentu, hal yang sama juga perlu dibuat pada Kelantan.

"Mana data untuk Kelantan?” katanya.

Pada 28 Jun lalu, pertikaian berhubung isu tuntutan royalti minyak membabitkan Kelantan dan kerajaan persekutuan selesai selepas Kota Bharu menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lalu.

Melalui writ saman difailkan pada 30 Ogos 2010, Kelantan menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Petronas perlu menyatakan berapa hasil diperolehi mereka dari telaga minyak dan daripada jumlah itu lima peratus perlu diberi kepada Kelantan.

“Kelantan tarik balik (saman sebelum ini sebab) janji atas jaminan nak bayar. Kita minta data kepada Petronas (sebab) kami percaya dah bagi kepada kerajaan.

“Jadi kerajaan kena bagi (data tersebuT) pada kami. Kami nak tahu data. Kami nak tanya formula yang keluar RM28 bilion berbanding formula kami lebih RM1 bilion setahun,” katanya.

Lihat Komen
ADS