Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tindakan Wong munabasah, sah di sisi undang-undang'
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 2:51 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Sekumpulan alumni Universiti Malaya (UM) menyatakan sokongan kepada siswazah, Wong Yan Ke yang membantah naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim semasa majlis konvokesyen baru-baru ini.

Dalam petisyen yang ditandatangani seramai 171 bekas pelajar UM, kumpulan itu berkata tindakan Wong munasabah dan selaras dengan undang-undang.

"Saudara Wong hanya menggunakan masa tidak lebih daripada 10 saat untuk mengeluarkan plakad dan melaungkan slogan. Kelakuan protes beliau tidak mengganggu kelancaran majlis istiadat konvokesyen," kata mereka.

Isnin lalu, Wong menunjukkan protes terhadap Rahim dengan menayangkan  plakad dan menjerit "Tolak Rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia. Ini adalah Tanah Malaysia)".

Plakad itu menyatakan sebab mengapa Abdul Rahim perlu meletakkan jawatan.

Wong melakukan tindakan itu di atas pentas pada majlis konvokesyen UM, selepas menerima ijazah beliau.

Keesokan harinya, siswazah lain, Edan Kon Hua En, cuba melakukan aksi yang sama tetapi digagalkan oleh pasukan keselamatan universiti itu.

Protes itu dilakukan berikutan ucapan Rahim (gambar bawah) yang didakwa bersifat perkauman pada Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lalu.

Kumpulan itu berpendapat tindakan Wong pada majlis tersebut tidak menyalahi  undang-undang.

"Kami berpendapat bahawa tindakan Saudara Wong Yan Ke yang angkat plakad dan melaung slogan adalah munasabah, betul dan sah di sisi undang-undang. 

"Saudara Wong sedang melaksanakan hak bersuaranya malah tindakan beliau telah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ucapan NC yang tidak bertanggungjawab. 

"Haruslah memperingati bahawa Perlembagaan Persekutuan biarpun Perlembagaan Universiti Malaya tidak melarang mahasiswa untuk mengeluarkan apa-apa ucapan yang meminta NC letak jawatan," kata mereka.

Kumpulan itu juga mengkritik tindakan universiti melarang Edan daripada memasuki dewan untuk menerima skrol ijazah dan mengatakan UM boleh dilihat sebagai cuba mewujudkan "white terror" di universiti.

UM membuat laporan polis terhadap Wong selepas kejadian itu dan polis dijangka akan mengambil keterangannya di Balai Polis Brickfields hari ini.

Sementara itu, kumpulan itu juga mendesak Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan timbalannya Teo Nie Ching mengarahkan pengurusan UM menarik balik laporan polis yang dibuat mereka.

Selain itu mereka juga menuntut Maszlee menjelaskan sebab kehadirannya pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

"Ini kerana kehadiran beliau akan dinampak menyokong kenyataan rasis di kongres itu," katanya.

Lihat Komen
ADS