Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selendang, Sanum & Elly dapat peluang kedua di pusat konservasi
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Selendang, Sanum dan Elly - merupakan tiga ekor anak gajah betina yang memperoleh peluang kedua di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah yang terletak di Lanchang di Temerloh.

Pembantu Hidupan Liar Kanan yang berkhidmat di PKGK, Saudi Sidek, 59, berkata ketiga-tiga ekor gajah itu dibawa ke pusat berkenaan dalam keadaan cedera parah, sehingga ada yang berpandangan ada antaranya tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan.

Sanum menurut Saudi, 'tiba' dalam keadaan badan dipenuhi kesan cakar dan gigitan dipercayai akibat diserang harimau manakala kisah Selendang dan Elly lebih tragis kerana kudung kaki hadapan akibat perbuatan manusia.

"Selendang kudung kaki kiri, manakala Elly kudung kaki kanan akibat terkena jerat dawai. Kaki mereka tidak dapat diselamatkan kerana hampir putus dan lebih malang untuk Selendang, ia merupakan kes pertama gajah kudung buat kami.

"Keadaan itu menyebabkan kami tercari-cari cara membuat kaki palsu untuknya dan keadaan itu menjadikan fizikalnya kini agak berbeza daripada gajah biasa kerana kaki kanan hadapan terpaksa menampung berat badan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di PKGK di Temerloh.

Untuk rekod, PKGK ditubuhkan pada tahun 1989 oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan buat masa ini, menempatkan 32 ekor gajah berusia dalam lingkungan antara tiga ke 82 tahun.

Semua gajah ini diletakkan di bawah jagaan 80 pekerja termasuk lapan daripada Orang Asli keturunan Che Wong dan gajah di situ merupakan gajah denak yang digunakan untuk memindahkan gajah liar atau bagi tujuan pendidikan serta gajah 'berkeperluan khas'.

Saudi berkata semasa ditemui di dalam hutan di Rompin, dekat Temerloh pada Ogos 2010, Selendang hanya berusia dua tahun dan kelihatan trauma setiap kali mereka cuba membersihkan luka kakinya, yang secara keseluruhan mengambil masa hampir setahun untuk pulih sepenuhnya.

Akuinya, bukan mudah untuk anak gajah itu 'mempercayai manusia' kerana nalurinya sebagai hidupan liar sekali gus menyukarkan kerja merawat dan walaupun usianya muda, kekuatan anak gajah tidak boleh dipandang ringan selain berkemampuan berubah menjadi agresif.

Elly, anak gajah betina berusia tiga tahun yang ditemui di Jeli, Kelantan pula, menurut Saudi 'lebih bernasib baik' kerana pengalaman mengubati Selendang menjadikan mereka lebih bersedia dan segera membuat kaki palsu supaya keadaan fizikalnya tidak terjejas.

"Kaki palsu gajah boleh mencecah hingga belasan ribu dan perlu diganti setiap enam bulan kerana pertambahan berat badan seiring dengan usia. Berbeza dengan Selendang, Elly dilihat lebih selesa menggunakan kaki palsu.

"Mungkin kerana usianya masih muda semasa mendapat kaki palsu berbanding Selendang, namun Selendang bijak kerana jika tidak diperhatikan, ada masanya ia dapat menanggalkan kaki palsunya sendiri," katanya.

Saudi yang mula berkhidmat dengan gajah sejak tahun 1980 berkata Sanum yang kini berusia 16 tahun pula ialah yang paling mudah dikenali di PKGK kerana satu-satunya gajah tanpa ekor.

Imbasnya, Sanum ditemui dengan keadaan 80 peratus badannya dipenuhi kesan cakar dan gigitan akibat harimau dan walaupun dalam keadaan parah, berjaya melarikan diri ke kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Siput, Perak.

"Kami sangkakan umurnya pendek kerana keadaan yang terlalu teruk...ekornya hampir putus menyebabkan mahu atau tidak, kami terpaksa memotongnya dan kini, Sanum dikenali sebagai heroin kerana mampu bertahan.

"Waktu baru tiba, kami terpaksa meletakkan Sanum di pasung kerana begitu agresif semasa hendak dirawat. Sedangkan, ubat perlu disapu setiap hari dan ini melibatkan hampir seluruh badannya.

"Nasib baik usianya semasa itu masih muda, jadi luka dahulu tidak meninggalkan parut. Daripada gajah yang agresif, Sanum kini menjadi gajah yang jinak dan biasa dengan kehadiran pelawat," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS