Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai taksiran Pulau Pinang guna kadar lama hingga bantahan selesai
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pulau Pinang akan terus mengguna pakai kadar cukai taksiran sedia ada untuk penggal pertama tahun hadapan sehingga pendengaran bantahan berhubung kadar baharu untuk cukai berkenaan diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata keputusan dibuat setelah sebanyak 89,762 bantahan telah diterima sehingga 14 Okt lepas berhubung pelaksanaan kadar baharu itu.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi ruang kepada pihak yang mengemukakan bantahan dan rayuan bagi menghadiri sesi Pendengaran Bantahan yang dijadualkan 29 Okt ini di tujuh lokasi di negeri ini.

“Memandangkan bilangan bantahan yang diterima, ia (proses mendengar dan mengkaji semua bantahan itu) dijangka selesai pada Mac 2020," katanya dalam satu sidang akhbar diGeorge Town hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah bantahan itu, sebanyak 54,239 diterima daripada pemilik bangunan dalam kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sementara sebanyak 35,523 lagi diterima daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Di Seberang Perai, sesi mendengar bantahan akan diadakan di Dewan Dato' Haji Ahmad Badawi, Kompleks Sukan MBSP Bertam, Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek dan Dewan Serbaguna Jawi.

Sesi pendengaran yang sama akan turut diadakan di Dewan Bandaraya di Jalan Padang Kota Lama, Bilik Perdana Aras Empat Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata Senarai Nilaian Baru 2020 akan tetap dikuat kuasa pada 1 Januari 2020 walaupun pemilik hartanah membayar dengan kadar lama pada penggal pertama tahun 2020.

"Bil penggal pertama masih menggunakan kadar sedia ada sehingga sesi pendengaran bantahan diselesaikan pada bulan Mac. Bil cukai taksiran penggal kedua akan dikeluarkan mengikut kadar yang baharu," katanya.

Katanya, terdapat kemungkinan perubahan kepada kadar cukai taksiran setelah kesemua bantahan itu diteliti dan perubahan ini diambil kerana perlu ada penyelarasan dalam pembayaran cukai, terutamanya kepada pemegang skim perumahan seperti rumah pangsa dan rumah teres.

- Bernama

Lihat Komen
ADS