Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Pekebun kecil perlu berdiri atas kaki sendiri

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pekebun kecil agar tidak bergantung kepada bantuan kerajaan dan menguruskan ladang mereka dengan cara lebih profesional.

Berucap ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil (PKPKM) hari ini, beliau ditanya mengenai pemberian bantuan kepada pekebun kecil bagi membantu mereka menghadapi kesukaran dalam tempoh penanaman semula.

Beliau sekali lagi mengulangi cadangan agar pekebun kecil menggabungkan ladang mereka dan mengupah pengurus estet profesional untuk menguruskan ladang bagi menjana pendapatan.

"Sebab itu kalau kita sudah cantumkan tanah kita jadi lebih besar dan kemudian kita agihkan sebahagian untuk tanaman sayur, buah-buah dan juga lain-lain tumbuhan termasuk sekarang ini buluh pun memberi pulangan yang baik .

“Saya yakin masalah terpaksa pinjam daripada kerajaan untuk tanam semula tak diperlukan lagi.

"Jadi kita bukan saja tak pinjam, kita tak nak kerajaan bantu. Kita boleh berdiri atas kaki kita sendiri. Inilah harapan kerajaan.

Selain itu perdana menteri juga meminta pekebun kecil mempelbagaikan tanaman ketika tempoh penanaman semula kelapa sawit dan ketika harga komoditi dunia itu merudum.

"Dan kita harap orang-orang yang jadi petani ini juga akan mendapat pendapatan yang sama dengan orang yang bekerja di bandar. Supaya tak ada pengasingan atau jarak yang jauh antara pendapatan orang bandar dan orang luar bandar.

"Tapi kalau kita tak tukar cara-cara kita, selama-lamanyalah kita akan bergantung untuk tanam semula, kita bergantung kepada bantuan," katanya dalam majlis yang diadakan di Ampang hari ini.

'Kenapa latih orang muda meminjam?'

Belanjawan 2020 yang dibentangkan kerajaan Jumaat lalu memperuntukkan pinjaman RM550 juta untuk penanaman semula kelapa sawit dan dua peratus kadar bunga kepada pekebun kecil. 

Kadar itu lebih rendah berbanding pinjaman bank biasa.

Terdahulu dalam majlis itu, Presiden PKPKM, Aliasak Ambia menggesa kerajaan PH mengembalikan semula bantuan kepada pekebun kecil semasa tempoh penanaman semula yang mana tanaman mereka tidak mengeluarkan hasil.

"(Proses) Tanam semula kelapa sawit yang biasanya dibagi oleh kerajaan melalui bantuan. Sekarang ia (kerajaan) bagi melalui pinjaman.

"Maknanya kita latih orang-orang muda ini dan orang luar bandar untuk meminjam, bila tak dapat bayar esok dia takkan bayar.

"Jadi sebelum masalah timbul, cubalah. Cuma kami minta (pertimbangkan),” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada pekebun kecil yang hadir pada mesyuarat tersebut.

PKPKM diasaskan pada tahun 1975 dan mempunyai sekurang-kurangnya 150,000 ahli berdaftar.

Ditanya pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir mengulangi bahawa pekebun kecil perlu menggabungkan tanah mereka bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

Beliau merujuk kepada projek perintis yang kini sedang dijalankan di Langkawi membabitkan pesawah padi.

“Kita telah bermula dengan pesawah padi dan saya percaya ada di antara mereka yang sudah bersetuju (dengan skim ini).

“Kita sedang minta kementerian pertanian untuk laksanakan. Di Langkawi sebagai contoh, mereka sudah (gabung) beberapa ladang untuk perkenalkan penanaman padi pulut,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa kementerian itu juga bakal meneliti skim yang sama terhadap pekebun kecil sawit.

Lihat Komen
ADS