Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia belanja terlalu banyak untuk pengangkutan
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 4:54 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Kerajaan hari ini melancarkan Buku Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dalam menangani pelbagai isu mengenai sistem pengangkutan negara.

Ini termasuklah tentang bagaimana rakyat Malaysia memperuntukkan sebahagian besar pendapatan boleh guna mereka untuk tujuan pengangkutan berbanding negara-negara maju.

Berdasarkan pelan induk tersebut, secara purata, rakyat Malaysia yang tinggal di Kuala Lumpur membelanjakan 10 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka ke atas pengangkutan berbanding hanya empat peratus di Hong Kong dan Tokyo.

Turut dinyatakan, kos kesesakan jalan raya di Lembah Klang adalah sebanyak 1.1 hingga 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, atau bersamaan RM6,144 seorang untuk setiap tahun.

Hal tersebut sebahagiannya disebabkan oleh kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kenderaan persendirian yang lebih mahal berbanding pengangkutan awam.

Pelan induk tersebut turut menggariskan lima teras dasar dan 23 strategi untuk menangani pelbagai cabaran melibatkan pengangkutan darat, air dan udara untuk tempoh 11 tahun dari tahun 2019 hingga 2030.

Antara strateginya adalah untuk menggalakkan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel, yang akan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memberikan lebih keselesaan buat pengguna jalan raya biasa.

“Pergerakan membawa barangan melalui rel buat masa ini hanya menggunakan 30 peratus daripada kapasiti landasan rel dan hanya 5 peratus daripada kargo darat diangkut menggunakan kereta api.

“Wujud potensi yang besar dalam penghantaran barangan menggunakan kereta api, terutamanya untuk barangan yang berbahaya dan berisiko.

“Di peringkat global, penghantaran barangan yang berbahaya menggunakan rel telah diiktiraf sebagai kaedah yang paling selamat dalam memindahkan barangan berasaskan kimia dalam kuantiti yang besar dan untuk jarak yang jauh.

“Pada masa sama, masih wujud lebihan kapasiti dalam perkhidmatan KTM Komuter dan rel antara bandar yang wajar dipertingkatkan penggunannya,” kata pelan induk itu.

Untuk itu, antara pelan tindakan yang digariskan adalah untuk menambah baik kemudahan rel ke pelabuhan untuk melancarkan pergerakan barangan.

Ia juga akan meningkatkan ketersambungan mod jalan raya dan rel untuk menggalakkan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel.

Pelan itu juga akan mempromosi dan menggalakkan penggunaan integrasi data lebih baik serta memperkenalkan sistem bayaran berpusat untuk perjalanan yang lancar bagi semua mod pengangkutan awam darat.

Selain itu ia akan turut meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam untuk golongan OKU, memperkukuh rejim penyelenggaraan serta meningkatkan aspek keselamatan.

Lima teras dasar adalah seperti berikut:

1. Memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan

2. Mengomptimum, membina dan menyelenggara infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan untuk memaksimumkan kecekapan.

3. Meningkatkan aspek keselamatan, integrasi, ketersambungan dan kebolehcapaian bagi melancarkan perjalanan

4. Melangkah maju ke arah ekosistem pengangkutan hijau

5. Memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan.

Laporan terperinci boleh dibaca di sini: 

 

Lihat Komen
ADS