Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah tradisi Kg Baru akan akan dijadikan galeri, kafe
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 5:52 PM
Dikemaskini: 3:07 PM

Rumah tradisi di Kampung Baru, Kuala Lumpur akan dipindahkan dan dipulihara dalam proses pembangunan semula kawasan tersebut.

Menurut pelan projek tersebut, rumah-rumah ini akan dipindahkan ke sebuah kawasan yang dinamakan Taman Warisan, kata penolong presiden firma senibina Veritas Design Group Lilian Tay.

Taman Warisan merupakan antara elemen yang dimasukkan dalam pelan pembangunan semula Kampung Baru.

Rumah tradisi yang tidak akan terjejas dengan pembangunan baru itu akan dikekalkan di lokasi asal, kata Tay.

“Jika kami suka rumah-rumah Melayu ini, antaranya kami akan jadikan ia galeri, perpustakaan digital dan kafe. Sebagai tempat rekreasi awam seperti itu,” katanya.

Katanya sebuah audit telah dilakukan untuk mengenalpasti jenis rumah tradisi di Kampung Baru dan rumah mana akan dipindahkan.

“Ini bukan sesuatu yang aneh. Sebenarnya rumah kayu Melayu memang dibina untuk tujuan ini, iaitu ia tidak terletak di atas tanah dan sebagainya.

“Adalah menjadi satu tradisi di Malaysia dan Indonesia; memindahkan rumah adalah satu ritual masyarakat,” katanya.

Tay membentangkan berkenaan projek pembangunan semula Kampung Baru di persidangan Asia-Pacific Urban Forum, di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berucap selaku presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia.

Bulan lalu, kerajaan menawarkan untuk membeli semula tanah di Kampung Baru pada kadar RM850 setiap kaki persegi.

Namun ada yang berpendapat harga itu terlalu rendah memandangkan Kampung Baru, yang merupakan penempatan Melayu tertua di ibu negara, terletak di tengah ibu kota.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan menetapkan harga lebih rendah daripada harga komersil supaya harga hartanah yang dibina dalam pembangunan semula kelak mampu dibeli kaum bumiputera.

Antara bangunan baru yang bakal menggantikan rumah-rumah tradisi tersebut adalah Legasi Kampung Baru, iaitu pejabat dan kondominium setinggi 43 tingkat yang menjanjikan “pemandangan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur yang menakjubkan”.

Menurut laman web Legasi, sebuah unit berukuran 950 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur berharga RM761,200 ke atas.

Syurga makanan

Sementara itu, Tay berkata pembangunan semula Kampung Baru mengambil kira identiti kawasan itu sebagai syurga makanan.

Terdapat banyak gerai dan restoran yang terkenal di Kampung Baru, seperti Nasi Lemak Antarabangsa, serta pasar malam dan bazar Ramadan.

Menurut Tay, pembangunan semula Kampung Baru tidak akan menjejaskan perniagaan-perniagaan kecil tersebut.

“Pelan kita bukan sahaja pelan fizikal. Kami mengambil kira kehidupan penduduk tempatan dan perniagaan kecil yang pesat di Kampung Baru.

“(Mereka) tidak akan terjejas semasa proses pembangunan semula. Mereka akan tetap di lokasi yang sama, sama ada pasar malam atau bazar Ramadan, deretan itu akan dikekalkan,” katanya.

Elemen lain dalam pembangunan semula termasuk satu amfiteater tidak berbumbung untuk pelbagai kegunaan termasuk wayang pacak, yang boleh menayangkan filem-filem P Ramlee dan Saloma, katanya.

“Secara keseluruhannya, ia bermatlamat untuk membawa kesimbangan kepada kawasan bandar Kuala Lumpur yang telah menjadi terlalu komersil.

“Kita ingin membina kawasan perumahan yang membolehkan penduduk tinggal di kawasan bandar dan untuk menjadikan kehidupan di bandar lebih selesa.

“Maka anda tidak perlu tinggal 20km dari tempat kerja atau memandu dua jam setiap pagi untuk ke tempat kerja.

“Harapan kami adalah membina kehidupan yang seimbang, di mana warga kota boleh tinggal dan bekerja di tempat yang sama.” katanya.

Lihat Komen
ADS