Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kongres Maruah Cina pun akan ditentang, kata aktivis pelajar

Penuntut Universiti Malaya (UM) yang membuat kejutan apabila melakukan protes di pentas konvokesyen pusat pengajian tinggi itu baru-baru ini berkata, dia tidak menyasarkan mana-mana kaum dalam bantahannya.

Sebaliknya kata Wong Yan Ke apa yang mahu disuarakannya ialah tentangan terhadap amalan perkauman di negara ini.

Justeru, katanya, jika ada kongres lain yang dibuat untuk kaum-kaum tertentu, ia juga akan dibantah.

"Malah kalau universiti kita menganjurkan Kongres Maruah Cina atau India, saya akan bantah itu juga," kata bekas pengerusi Persatuan Belia Baru UM (Umany) itu kepada Malaysiakini.

Wong baru-baru ini menunjukkan plakad dan melaungkan gesaaan membantah perkauman sejurus selepas mendapat skrol ijazahnya. Dia juga menggesa Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim, meletak jawatan.

Untuk rekod, Abdul Rahim bertindak sebagai ketua eksekutif kepada Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Shah Alam pada 6 Okt lalu.

Himpunan itu mengumpulkan sejumlah pemimpin parti dianggotai orang Melayu, termasuk Bersatu, PKR, Umno, PAS dan Amanah.

Enggan label perkauman

Bagaimanapun sesetengah pemimpin DAP menyatakan rasa tidak senang dengan penganjuran tersebut.

Wong berkata walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbeza latar belakang, orang ramai biasanya lebih terarah untuk mengaitkan hampir semua isu dengan perkauman.

Sebagai contoh, katanya, sesetengah pihak melihat protes yang dibuatnya di majlis konvokesyen UM itu sebagai bantahan seorang pemuda Cina ke atas orang Melayu.

Sedangkan kata Wong bantahan itu bukan digerakkan oleh sentimen perkauman.

Bagi graduan kejuruteraan itu, pengkritik mengaitkan protes tersebut dengan isu perkauman kerana mereka tidak dapat mencari hujah lain untuk menolak apa yang dilakukan.

Katanya, apa yang diperjuangkan ialah nilai-nilai kebebasan sejagat serta kesaksamaan dan ia bukan untuk kepentingan peribadi atau kaum tertentu semata-mata.

"Sesetengah orang Cina menganggap saya wira mereka. Bukan, saya tak mahu label bersifat perkauman begini.

"Saya yakin kepada nilai-nilai sejagat, bukan masalah perkauman," katanya.

Abdul Rahim Hashim

Wong menambah, andainya orang Cina menjadi masyarakat majoriti di Malaysia ketika ini, dia tetap akan menolak perkauman kerana yakin sikap saling menghormati dan hak bersama adalah yang terbaik.

"Kalau komuniti Cina menekan kaum minoriti saya pun akan bangkit menentang mereka.

"Masalah sekarang ialah, orang ramai hanya menyokong nilai-nilai yang menguntungkan mereka saja," katanya.

Wong kemudian membawakan contoh mengenai sikap masyarakat Cina Malaysia untuk menjelaskan pendiriannya.


Baca Polis siasat siswa UM protes di pentas konvokesyen


Kata Wong, orang Cina di negara ini melihat dia sebagai "sampah" kerana melakukan protes di majlis konvokesyen tersebut berbanding sikap mereka kepada protes penduduk Hong Kong yang menolak undang-undang ekstradisi mahu dilaksanakan Beijing.

Hal yang sama berlaku dalam komuniti Melayu, katanya.

"Katakanlah saya jeritkan: Undur Pakatan Harapan, atau Ini Tanah Melayu.... saya takin laskar siber Melayu tidak akan menyerang saya seperti sekarang.

"Malah, mereka mungkin menyokong saya," katanya.

Sementara itu Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) berkata protes oleh mana-mana penuntut - termasuk Wong - mungkin didorong oleh rasa tidak puas hati mereka terhadap "kesilapan" Abdul Rahim.

"Protes itu sendiri kemungkinan berpunca daripada rasa tidak puas hati lama penuntut terhadap kesilapan naib canselor UM," kata Setiausaha Agung PKAUM, Noraishah Mydin Abdul Aziz dalam satu kenyataan semalam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS