Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan seksual: Ibu berhak ambil tindakan terhadap sekolah tahfiz - Suhakam
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Ibu seorang kanak-kanak lelaki yang mendakwa menjadi mangsa eksploitasi seks di sebuah sekolah tahfiz berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbir institusi itu, maklum Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Prof Noor Aziah Mohd Awal dalam suatu kenyataan menyentuh laporan media mengenai insiden yang didakwa itu.

"Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah yang seteruk ini harus mendapat keadilan sepenuhnya.

"Memandangkan kesalahan yang dituduh tersebut amat serius, Pesuruhjaya Kanak-Kanak percaya bahawa ibu kepada mangsa berhak sepenuhnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah tahfiz tersebut," kata Noor Aziah.

Ini selepas pendakwaan menggugurkan kes berkenaan walaupun mahkamah mengakui kesalahan telah dilakukan.

Dalam kenyataannya, Noor Aziah menggesa Peguam Negara Tommy Thomas supaya memberi penjelasan mengenai alasan di sebalik keputusan untuk menggugurkan tuduhan jenayah terhadap pelaku yang didakwa itu.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggesa Peguam Negara untuk memberikan penjelasan segera keputusan menggugurkan tuduhan jenayah terhadap suspek dan menjelaskan asas tindakan sedemikian yang menggunakan budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan; dengan menggariskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak," katanya lagi.

Hak kanak-kanak sama seperti orang dewasa

Noor Aziah menegaskan hak kanak-kanak perlu diiktiraf dan dilindungi di sisi undang-undang.

"Dalam usaha Malaysia membanteras eksploitasi seks kanak-kanak, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menekankan bahawa kedaulatan undang-undang perlu dilaksanakan sepenuhnya kepada kanak-kanak sebagaimana ia dilaksanakan kepada orang dewasa kerana kanak-kanak mempunyai hak yang sama di bawah undang-undang," katanya.

Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin lalu dilaporkan menolak dakwaan penderaan seks terhadap seorang kanak-kanak di sebuah sekolah tahfiz di Manjoi, Ipoh, hanya dua bulan selepas mengakui bahawa suatu kesalahan telah berlaku.

Menurut laporan itu lagi, Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen membuat keputusan itu setelah mahkamah menerima surat daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Perak.

Surat itu menyebut arahan dikatakan daripada peguam negara yang ditulis berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam keluarga berkenaan, Asiah Abd Jalil, dipetik sebagai berkata peruntukan itu memberi kuasa kepada peguam negara menggunakan budi bicaranya untuk menghentikan apa-apa prosiding atas sesuatu kesalahan.

Pada Ogos 2016, seorang ibu telah membuat dua laporan polis mendakwa bahawa anak lelakinya yang berusia sembilan tahun bersama pelajar lain, secara konsisten telah didera secara seksual oleh pelajar senior di sebuah sekolah tahfiz.

Lihat Komen
ADS