Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Biadab, DAP perlu disiplinkan ahli - Penerangan Pemuda Bersatu
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 2:31 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada) Ulya Aqamah Husamudin membidas kenyataan akar umbi DAP yang 'mengherdik' menteri pendidikan mengenai isu komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)' dan menyifatkannya sebagai "satu tindakan yang biadab dan berat sebelah."

"Tindakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menahan penyebaran komik itu adalah tindakan yang tepat.

"Isi kandungannya adalah bermasalah dan tidak sesuai disebarkan kepada sekolah-sekolah. Malahan Kementerian Dalam Negeri juga telah memanggil penulis dan penerbit buku komik berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ulya juga berkata buku komik itu berbaur propaganda China yang mengagungkan negara tersebut dan melakar persepsi yang tidak tepat mengenai masyarakat Melayu Islam.

"Buku itu juga telah menyalahgunakan gambar Dr Mahathir Mohamad sebagai tujuan promosi yang juga telah disanggah oleh Pejabat Perdana Menteri.

"Sebelum ini pimpinan DAP menafikan penglibatan rasmi parti dalam isu buku ini, sekarang akar umbi keluarkan kenyataan biadap apabila kementerian (pendidikan) menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

"Hentikan provokasi ini. Disiplinkan mereka yang dikatakan ahli dan pimpinan akar umbi yang menyerang menteri-menteri sendiri," tegasnya.

Menurut Ulya lagi, Armada akan membuat laporan polis terhadap penulis dan penerbit buku itu.

Terdahulu, seramai 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa Adun DAP membantah pengumuman menteri pendidikan untuk melarang pengedaran komik itu daripada memasuki sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka juga mempersoalkan mengapa Maszlee mengikut rentak bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu berkenaan.

Najib baru-baru ini mendakwa komik berkenaan, yang diedar ke sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan bertujuan menyebarkan propaganda DAP dan komunis.

Komik itu diterbitkan hasil kerjasama antara Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Hew bagaimanapun menafikan komik itu berunsur propaganda dan mengatakan buku itu turut disampaikan kepada pemimpin tertinggi China , April lalu.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri berkata komik itu yang disampaikan kepada Presiden China, Xi Jinping bukan hadiah rasmi dan dibawa tanpa mengikut prosedur.

Lihat Komen
ADS