Menyorokkan sayur atau memotong sekecil mungkin sayuran ke dalam masakan menjadi kebiasaan buat para ibu yang mempunyai anak yang tidak menggemari sayur.
Namun, Hasnawati Yahya, 37, menggunakan strategi berbeza.
Hasnawati mengubah salad, rumpai laut dan buah-buahan menyerupai watak kartun dan haiwan yang menarik selera anak-anaknya.
Bekal makanan harian anak-anak Hasnawati yang penuh seni itu sering dikongsinya di media sosial dan menjadi inspirasi bagi ramai ibu bapa yang sering mencari idea untuk membekalkan makanan yang sihat untuk anak-anak mereka.
“Anak kedua saya sangat memilih makanan dan tidak suka memakan sayur dan buah-buahan,” kata Hasnawati, yang lebih mesra dipanggil Mama Wati.
Idea untuk menghias makanan timbul apabila beliau membaca majalah dan mendapat saranan doktor agar mengolah makanan supaya lebih menarik untuk anak-anaknya.
Inspirasi menghias makanan juga berpandukan Tomomi Maruo, seorang personaliti Jepun yang hebat dalam seni bento - iaitu menghias bekalan makan tengah hari.
Bento merupakan kotak atau bekas mengisi makanan yang berasal dari negara Jepun, diperbuat daripada kayu atau plastik, yang mempunyai ruang pembahagi.
Bezanya, Mama Wati menggunakan bahan-bahan yang sesuai dengan selera rakyat Malaysia.
Anak-anak pilih tema mingguan
Walaupun tidak pernah mengikuti kelas kulinari, ibu kepada tiga anak berumur 13, 8 dan empat tahun itu semakin berminat dalam bidang berkenaan apabila melihat anak-anaknya gembira dengan hasilnya.
“Saya jadi semangat untuk mempelbagaikan hiasan makanan dan menyediakan bekalan yang bernutrisi kepada anak-anak kerana mereka sangat gembira dan seronok dengan apa yang saya sediakan,” kata Mama Wati.
Lebih menarik lagi rakan-rakan dan guru di sekolah sering tertunggu-tunggu tema bekal makanan yang dibawa anaknya setiap hari.
Terdapat 100 lebih idea tercetus yang beliau telah ubah menjadi makanan berbentuk haiwan kucing, gajah dan sebagainya acap kali menjadi pilihan anaknya.
“Sekarang anak lebih mudah untuk makan sayur dan buah-buahan kerana mereka teruja akan idea atau tema mereka minta," katanya.
Tentang pemilihan tema makanan pula, ia berdasarkan persetujuan ahli keluarga. Di hujung minggu mereka akan berbincang mengenai menu bekalan sekolah untuk minggu akan datang.
Usaha yang berterusan selama lima tahun berjaya memastikan setiap bekalan mempunyai nutrisi lengkap dari sumber protein, sayur dan buah-buahan.
Walaupun nampak halus dan rumit, menurut Mama Wati, ia tidak mengambil masa yang lama.
“Makanan yang ringkas saya mengambil masa selama lima minit untuk hasilkan dan lebih kurang 20 minit untuk hidangan yang lebih rumit,” katanya.
Galakkan ibu bapa sediakan makanan berkhasiat
Walaupun beliau merupakan suri rumah sepenuh masa, beliau percaya ibu bapa yang bekerja juga dapat membekalkan makanan yang berkhasiat dan menarik untuk anak-anak mereka.
“Caranya mudah, penyediaan awal bahan boleh dilakukan seperti sayuran dan buahan hendaklah dipotong terlebih dahulu di malam hari atau hari cuti,” katanya.
Mama Wati sering memberi galakkan kepada pengikut media sosial beliau, dengan harapan ibu bapa bekerja untuk meneruskan hasrat untuk membekalkan makanan yang berkhasiat untuk anak-anak.
Penyediaan makanan yang kreatif tidak terhad kepada bekalan yang dibawa anaknya.
“Saya juga meluangkan masa untuk menyediakan makanan yang comel untuk minum petang supaya turut sama dinikmati ahli keluarga yang lain,” tambahnya.
Beliau bercadang untuk menggembangkan idea kreatifnya agar dapat membantu ibu bapa yang ketandusan idea untuk membekalkan makanan yang menarik kepada anak-anak.
Ini terutamanya selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada kenalannya di media sosial.
“Atas permintaan ramai, saya merancang untuk menghasilkan video bimbingan cara untuk menghias makanan di laman sesawang YouTube dan bengkel atau kelas menghias makanan,” katanya.
