Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini masalah komik Hew, kata Abim
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 3:35 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Masalah utama dalam komik kontroversial diilhamkan Hew Kuan Yew adalah naratifnya berkisar mengenai penindasan China terhadap masyarakat Uighur, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

“Ini dapat dilihat dalam kandungan komik tersebut, antaranya menyebarkan propaganda bahawa mereka yang membela nasib umat Islam Uighur yang dizalimi kerajaan China adalah radikal.

“(Komik tersebut) mengetengahkan fahaman bahawa umat Islam bersimpati dengan kumpulan pengganas,” kata Setiausaha Agung Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Abim berkata demikian bagi merujuk komik yang ditulis oleh Hew yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC) berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI) yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi ciapan di Twitter turut berang dengan penulis komik berkenaan yang menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan nasib Uighur di China sebagai radikal.

Hantaran menteri turut menyertakan petikan daripada komik yang menyentuh mengenai radikalisme Islam.

Kena ada fakta jelas

Ia berbunyi: "Pemuda Melayu yang radikal yang prihatin tentang pelaksanaan dasar etnik di Xinjiang menyebabkan mereka mempunyai tanggapan negatif terhadap China.

"Terutamanya dalam hal mengenai kerajaan China mengharamkan sekelompok minoriti Uighur yang terlibat dalam gerakan pemisah yang telah mengancamkan perpaduan dan keharmonian masyarakat."

Buku komik BRI menjadi sorotan selepas bekas perdana menteri Najib Razak mengadu buku itu diedarkan di sekolah-sekolah, yang membawa kepada larangannya daripada Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, Hew mempertahankan buku komik karangannya itu berkata ia bertujuan mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang projek BRI China.

Sementara itu, Muhammad Faisal turut menjelaskan Abim menyambut baik arahan dikeluarkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung larangan komik tersebut untuk diedar di sekolah dan Syed Saddiq yang menyelar penerbitan itu.

“Abim menegaskan setiap rakyat sememangnya harus mendokong kebebasan dalam menyampaikan maklumat tetapi harus disandarkan dengan fakta yang jelas dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Abim juga menegaskan bahawa pendidikan di Malaysia bertujuan untuk melahirkan insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Untuk rekod, China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uighur di "kem pendidikan semula" yang didakwa perlu dilakukan demi memerangi ekstremisme Islam.

Layanan terhadap etnik Uighur telah dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Malaysia lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uighur.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menjelaskan hal tersebut kerana China adalah sebuah negara yang kuat, selain rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Pada masa ini, kerajaan terikat kepada Beijing melalui projek-projek era BN seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur yang dirundingkan semula PH selepas berkuasa.

Putrajaya juga masih berunding dengan China untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan projek saluran paip Multi-Produk (MPP) dan Paip Gas Rentas-Sabah (TSGP).

Lihat Komen
ADS