Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komik BRI tidak cermin pendirian parti - Ketua Pemuda DAP
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 11:48 PM
Dikemaskini: 4:01 PM

Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata komik Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) tidak mencerminkan pendirian partinya.

Ini selepas timbalannya Chiong Yoke Kong, yang juga Adun Tanah Rata  mempertahankan pengarang komik itu, Hew Kuan Yau yang dikenali sebagai 'Superman' serta mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang melarang pengedaran komik itu ke perpustakaan sekolah.

"Saya ingin menegaskan bahawa Parti Tindakan Demokratik dan sayap pemuda DAP tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan komik tersebut.

"Isi kandungan komik tersebut tidak mencerminkan pendirian DAP mahupun sayap pemudanya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Lee berkata pihaknya menjunjung kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang dan menyerahkan kepada pembaca untuk membuat tafsiran masing-masing.

"Kandungan komik tersebut adalah perspektif peribadi pengarang hasil inisiatif Asia Comic Culture Museum.

"Sama ada perspektif tersebut adalah benar atau tidak benar adalah bergantung kepada tafsiran pembaca.

"Di samping itu, DAP menjunjung kebebasan bersuara yang tidak melanggar undang-undang ataupun memudaratkan hak dan kebajikan pihak lain," katanya lagi.


BACA BERKAITAN:

Komik BRI: Kita bertindak ikut undang-undang - Maszlee

Maszlee dilantik PH atau Umno, bidas akar umbi DAP

Usah dek komik 'setitik' rosak DAP 'sebelanga'

Syed Saddiq: 'Superman rasis' label Melayu sokong Uighurs radikal

Ada menteri tak tahu beza radikal dan ekstremis, kata 'Superman'


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada 18 Oktober lalu turut memaklumkan buku komik berkenaan tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri pimpinannya mahu pun DAP.

Menjelaskan lanjut, ketua menteri berkata hubungan antara kerajaan negeri dan Muzium Kebudayaan Komik Asia hanya berdasarkan penyaluran peruntukan tahunan sahaja "kerana kerajaan negeri menganggap muzium ini salah satu produk pelancongan."

Komik mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan China itu mengandungi cerita yang cenderung terhadap republik berkenaan dan menggambarkan Melayu yang menyokong etnik Uighurs sebagai radikal.

Kerajaan China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uighur di "kem pendidikan semula" yang didakwa perlu dilakukan demi memerangi ekstremisme Islam.

Layanan terhadap etnik Uighurs telah dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, Malaysia lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uighurs.

Susulan larangan yang dikeluarkan menteri pendidikan, akar umbi DAP menyokong Hew dan mempersoalkan mengapa Maszlee mengikut rentak bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu berkenaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP, Eric Teh dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor Koo Jeng Teng.

Lima Adun yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Phoong Jin Zhe (Adun Luyang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata, Pahang), Chow Yu Hui (Adun Tras, Pahang), Lee Chin Chen (Adun Bilut, Pahang) dan Leong Yu Man (Adun Triang, Pahang).

Kumpulan berkenaan berkata sebelum ini tiada bantahan apabila buku Transformasi Najib ketika era kerajaan terdahulu diedarkan ke sekolah-sekolah.

Najib baru-baru ini mendakwa komik berkenaan, yang diedar ke sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan bertujuan menyebarkan propaganda DAP dan komunis.

Hew pada bulan Julai 2016 keluar DAP selepas mencetuskan kontroversi dengan komentarnya yang menyatakan bahawa Laut China Selatan adalah milik China.

Walaupun tidak lagi menjadi ahli DAP, Hew masih mengekalkan hubungan rapat dengan parti itu.

Lihat Komen
ADS