Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: FIC hanya maklumkan beli hotel, bukan dapatkan kelulusan
Mahkamah diberitahu hari ini bahawa pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak berharga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC) hanya dimaklumkan kepada Felda, dan bukannya untuk mendapatkan kelulusan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil berkata bahawa pembentangan laporan kemajuan aktiviti pelaburan dan perniagaan FIC, yang merupakan anak syarikat kepada Felda, dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda hanya sekadar makluman sahaja.

"Seperti saya kata, kertas pembentangan kepada Felda ada dua. Yang satu memaklumkan kepada Felda. Yang lain, mendapatkan kelulusan.

"Pembentangan laporan kemajuan aktiviti FIC kepada Felda dalam mesyuarat lembaga Felda sekadar maklumkan sahaja bukan dapatkan kelulusan," katanya ketika menjawab soalan pemeriksaan semula oleh pihak pendakwa raya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mohd Zaid, 45, merupakan saksi ke 15 dalam perbicaraan salah guna kuasa dan tuduhan menerima rasuah yang dihadapi oleh bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Samad melibatkan RM3 juta.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz meminta Mohd Zaid yang juga bekas pengarah FIC menjelaskan bahawa adakah pembentangan laporan kemajuan aktiviti FIC kepada Felda dalam mesyuarat lembaga Felda pada 1 Disember 2014 boleh ditafsirkan sebagai FIC mendapatkan kelulusan daripada Felda.

Bagaimanapun, Zaid menjelaskan bahawa "memaklumkan" dan "mendapatkan kelulusan" merupakan dua perkara berbeza.

Beliau juga memberitahu bahawa Felda tidak pernah meminta FIC untuk membentangkan kertas pembelian hotel Merdeka untuk tujuan kelulusan.

"Tiada arahan secara khusus untuk membentangkan pembelian hotel oleh setiausaha Felda," katanya.

Tambahnya, beliau yang membentangkan laporan kemajuan aktiviti pelaburan dan perniagaan FIC di mesyuarat lembaga Felda termasuk pembelian Hotel Merdeka hanya sekadar kertas untuk memaklumkan sahaja.

Untuk rekod, pada Khamis lalu, Mohd Zaid mengesahkan bahawa pembelian hotel tersebut tidak mendapat mandat Felda yang menetapkan sebarang pelaburan RM100 juta ke atas perlu diangkat ke mesyuarat ahli lembaga pengarah Felda untuk kelulusan.

Ini kerana, katanya, pengerusi Felda ketika itu, Isa memaklumkan kepada FIC bahawa urusan berkenaan tidak perlu dibawa kepada lembaga pengarah Felda.

Isa, 70, sedang menghadapi satu pertuduhan salah guna kuasa serta sembilan tuduhan menerima rasuah mengaku tidak bersalah.

Perbicaraan yang masuk hari kesembilan hari ini, dibicarakan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS