Dinamika dalam pemilihan Amanah nampaknya gagal memberi kelebihan kepada tokoh-tokoh nasional atau berprofil tinggi apabila masih gagal mendapat tempat walaupun mendapat peluang kedua bertanding.
Untuk pemilihan Amanah Permatang Pauh yang berlangsung pada 18 Oktober lalu, Timbalan Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil, sekali lagi tewas apabila gagal mendapat tempat dalam kalangan 15 calon mendapat undi tertinggi.
Menurut sumber Malaysiakini, pada pemilihan itu seramai 26 orang pimpinan - termasuk Faiz - dicalonkan cawangan-cawangan dalam Permatang Pauh.
Bagaimanapun katanya Adun Permatang Pasir dan pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu tidak menjadi pilihan majoriti perwakilan yang layak mengundi.
Pada pemilihan itu menyaksikan penyandang ketua Amanah Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria, dilantik semula menerajui kepemimpinan Amanah kawasan berkenaan.
Sebagai rekod, Faiz tewas pada pemilihan yang diadakan sebelum ini. Bagaimanapun pemilihan tersebut dibatalkan oleh sebab teknikal dan pengundian kali kedua dibuat.
Pemilihan semula itu dibuat atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Sementara itu di Perak pula menyaksikan bekas menteri besar, Mohammad Nizar Jamaluddin, memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan semula Amanah Gopeng yang diadakan semalam.
Untuk rekod, Adun Sungai Rapat itu sebelum ini tewas pada pemilihan yang diadakan pada 24 Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak, Akhiruddin Taib, berkata Nizar tidak bertanding untuk mendapat tempat di Gopeng selepas tiada pencalonan dibuat cawangan untuknya.
Katanya, ia berlaku susulan saranan daripada Nizar sendiri yang mahu ahli jawatankuasa yang dipilih pada pemilihan sebelum ini dikekalkan.
"Beliau memilih untuk tidak bertanding dan menyarankan supaya Amanah Gopeng mengekalkan anggota jawatankuasa yang menang sebelum ini.
"Jadi tiada cawangan yang mencalonkan namanya untuk kembali bertanding," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.