Terjemahan Satu protes membantah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan mendakwa pasangan yang berpeluk dan bercium di tempat awam akan diadakan di hadapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) esok.

Protes yang dianjurkan oleh Pemuda DAP itu akan berlangsung pada pukul 1.30 tengahari.

"Kami akan berpegangan tangan, memeluk dan mencium pipi pasangan masing-masing. Mereka yang berminat boleh datang dengan pasangan menyertai kami," kata ketua pergerakan itu, Chong Chieng Jen.

Tindakan ini dibuat ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan DBKL boleh mendakwa pasangan yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Minggu lalu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim di dalam penghakimannya memutuskan perbuatan berpeluk dan bercium di khalayak ramai boleh dianggap sebagai perbuatan tidak senonoh dan tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia.

Chong berkata, Pemuda DAP tidak menyokong semua bentuk kelakuan tidak sopan tetapi pada masa yang sama tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa tempatan memguatkuasakan undang-undang seperti itu.

Dalam kes yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan itu, pasangan pelajar universiti telah ditahan oleh pegawai penguatkuasa DBKL kerana berpeluk dan bercium di taman awam. Mereka didakwa atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Pasangan itu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut,

sebaliknya mereka mendakwa disaman kerana enggan memberi rasuah kepada pegawai-pegawai penguatkuasa berkenaan.

Chong juga berkata, satu undang-undang yang seragam berhubung kelakuan tidak sopan yang mendefinisikan dengan jelas maksud perbuatan tidak senonoh perlu diwujudkan untuk digunapakai di seluruh negara.

Beliau juga menambah, Undang-undang kecil Taman (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2002 sebagai kabur.

" Tanpa definisi yang jelas, ia mendedahkan orang ramai kepada pelbagai dakwaan perbuatan tidak sopan. Ini akan memberi kuasa besar kepada pegawai penguatkuasa untuk melakukan pendakwaan mengikut budi bicara sendiri," katanya.

Majlis Peguam telah mengkritik tindakan yang diambil terhadap pasangan pelajar universiti itu dengan menegaskan tindakan tersebut hanya wajar diambil jika perbuatan yang dianggap tidak sopan itu menjejaskan ketenteraman awam. Berita asal