Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lima suspek kes LTTE cabar penahanan bawah Sosma di mahkamah

Lima daripada 12 suspek yang ditahan selepas disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), memfailkan permohonan hari ini pembebasan segera mereka.

Pengerusi Biro Perundangan DAP Ramkarpal Singh berkata, permohonan habeas corpus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui sekumpulan peguam yang diketuainya, tengah hari ini.

Permohonan itu dibuat bagi pihak Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Adun Gadek, G Saminathan. Tiga lagi ialah S Arivainthan dan dua anggota DAP V Suresh Kumar dan S Chandru.

Ramkarpal berkata, mereka menyatakan beberapa sebab sebagai asas kepada permohonan itu, termasuk peruntukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak diikuti secara tegas dalam penahanan suspek.

"Kami bangkitkan beberapa asas untuk menyokong permohonan, termasuk peruntukan di bawah Sosma yang tidak dipatuhi secara ketat (dalam kes ini).

"Kerana dalam undang-undang seumpama ini, pematuhan ketat terhadap peruntukan perlu dalam setiap perkara yang merampas kebebasan subjek (yang ditahan).

"Ini ialah asas kepada permohonan itu," katanya ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Antara sebab lain yang disebut dalam afidavit sokongan ialah mereka tidak diberitahu oleh polis tentang butiran kesalahan mereka, dan polis didakwa hanya memberi akses peguam selepas satu tempoh masa seperti yang dinyatakan dalam Sosma.

Mereka juga mendakwa Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan - yang dinamakan sebagai responden keempat dan kelima permohonan itu - tiada sebab untuk meletakkan LTTE dalam senarai kumpulan pengganas.

Responden lain yang dinamakan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, Inspektor Muhammad Safwan Muhammad Ismail dan ketua polis negara.

Menurut Ramkarpal, suspek juga menafikan apa-apa penglibatan dengan LTTE, dan dakwaan itu perlu dibuktikan oleh pihak berkuasa.

"Kami yakin berdasarkan sebab yang diberi, kami ada peluang yang baik untuk berjaya dalam permohonan ini," katanya lagi.

Selain lima individu itu, seorang lagi suspek, pemilik restoran dari Sungai Buloh, Selangor telah memfailkan permohonan habeas corpus sendiri minggu lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tak perlu Sosma untuk tangani terorisme

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu berkata pihak berkuasa tidak seharusnya menggunakan Sosma dalam siasatan LTTE.

Beliau berkata ini kerana akta itu merupakan undang-undang zalim hasil daripada pentadbiran lalu.

"Kami percaya undang-undang sedia ada memadai untuk mengendalikan pengganas, tanpa Sosma," katanya lagi.

Sentimen sama disuarakan oleh sejumlah aktivis Otai Reformis, yang turut hadir di kompleks mahkamah itu, yang berkata Malaysia tidak perlukan "undang-undang tidak berperikemanusiaan" seperti Sosma.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS