Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kempen Tabung Pahlawan 2019 kutip lebih RM9 juta

Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjaya mengutip sumbangan lebih RM9 juta sekali gus melepasi sasaran awal kutipan minimum yang telah ditetapkan.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, berkata ia sesuatu yang membanggakan apabila kutipan itu berjaya melepasi sasaran awal iaitu RM6 juta.

"Alhamdulillah sehingga hari ini, jumlah kutipan yang telah diperolehi adalah RM9,196,379.15 sekaligus telah berjaya melepasi sasaran awal kutipan minimum iaitu sebanyak RM6 juta.

"Saya bagi pihak Kementerian Pertahanan dengan berbesar hati merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam kempen ini," katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di Kuala Lumpur hari ini.

Sumbangan disampaikan kepada Penaung Kempen Tabung Pahlawan 2019, Dr Hasmah Mohd Ali yang juga isteri perdana menteri.

Turut hadir, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Antara penyumbang utama kepada kempen berkenaan ialah, Adap 4orty Global Sdn Bhd yang menyumbang RM1.2 juta dalam bentuk wang tunai dan RM400,000 dalam bentuk tajaan.

Yayasan Albukhary dan Weststar Group masing-masing menyumbang RM1 juta.

Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah dipertanggungjawabkan bagi mengurus kempen berkenaan dari bulan Ogos 2019 sehingga Feb 2020.

Sementara itu, Mohamad berkata sumbangan yang besar diterima melalui kempen itu membuktikan masyarakat negara ini menghargai peranan dan sumbangan perajurit dalam mempertahankan keamanan negara.

"Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperingati segala sumbangan perajurit dan menginsafi detik kesengsaraan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu supaya kita tidak leka dan terus mempertahankan negara dan rakyat dari segalah jenis penjajahan dan ancaman.

"Maka sambutan hari pahlawan perlu terus diangkat sebagai detik keramat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran yang cukup penting dalam lipatan sejarah negara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS