Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perhutanan Perak beri kerjasama kes syarikat balak rasuah Orang Asli

Jabatan Perhutanan Perak akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Orang Asli di Kampung Lawai, Sungai Siput menerima wang 'sagu hati' daripada syarikat pembalakan.

Pengarahnya Mohamed Zin Yusop berkata setakat ini SPRM masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

“Bagaimanapun tidak ada berlaku pemberian rasuah semasa perjumpaan (Orang Asli) dengan pegawai Jabatan Perhutanan Perak. Hanya pegawai kita yang ada semasa perjumpaan di Sungai Siput, tiada wakil syarikat pembalakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Restorasi Tebing Sungai Perak bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri Perak 2019 di Kuala Kangsar hari ini.

Mohamed Zin berkata hasil perbincangan pihaknya bersama komuniti Orang Asli berkenaan membawa persetujuan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan terbabit.

"Pembalakan di kawasan itu didakwa pencerobohan namun ia memang diluluskan dan sah dari segi perundangan," katanya.

Pada 9 Oktober lepas, sebanyak 10 keluarga Orang Asli dari Kampung Lawai menyerah wang berjumlah RM15,000 kepada SPRM yang didakwa diterima daripada syarikat pembalakan sebagai 'sagu hati' supaya tiada bantahan terhadap aktiviti pembalakan yang pada awalnya dianggap tidak sah.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 30 keluarga menerima pemberian wang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 pada satu mesyuarat di Dewan Adat Kampung Lawai 3 Oktober lepas dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpang Jalong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS