Mari berjihad hadapi cabaran global, seru Abdullah
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa rakyat pelbagai kaum dan agama berjihad menentang segala masalah dan krisis semasa yang dihadapi negara dan dunia pada amnya.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa rakyat pelbagai kaum dan agama berjihad menentang segala masalah dan krisis semasa yang dihadapi negara dan dunia pada amnya.
Perdana Menteri berkata ia boleh dilakukan jika rakyat pelbagai kaum dan agama mengetepikan perbezaan masing-masing dan memberi tumpuan terhadap matlamat bersama, dengan bekerja bersama-sama dalam menangani cabaran global pada masa kini.
"Konsep jihad mesti diberikan tafsiran lebih luas, meliputi semua aspek kehidupan termasuk menguasai ilmu, sains dan teknologi dan aktiviti ekonomi," katanya pada "Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan Dan Relevannya Kepada Cabaran-cabaran Global Kontemporari" di ibunegara.
Menurut laporan Bernama forum sehari itu dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Abdullah berkata persoalan yang timbul masa kini ialah bagaimana menangani cabaran yang merangkumi semua aspek kehidupan, daripada isu kesihatan hinggalah ke isu ekonomi.
"Walaupun mencari kebaikan bersama itu bukan mudah, usaha mesti dilakukan," katanya.
Hubungan harmoni
Abdullah berkata cabaran global merupakan antara kebimbangan utama, sama ada dalam kalangan umat Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau Yahudi.
Katanya rakyat tidak wajar membiarkan rasa tidak selamat dan bimbang ini menguasai keputusan mereka kerana cabaran dan ketidaktentuan serta krisis dijangka berterusan dan menjadi semakin buruk.
Beliau berkata semua bangsa perlu menolak pelampau yang menekankan perbezaan-perbezaan dan mengajar politik membenci.
Sambil memberi contoh ketegangan yang berlaku baru-baru ini di kebanyakan negara akibat perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif akhbar Barat menentang Islam, Abdullah berkata ia merupakan contoh betapa pentingnya agama yang kuat.
Abdullah berkata ia juga memberi pengajaran kepada pemimpin dan rakyat biasa mengenai perlunya isu berkaitan Kristian di Barat dan dunia Islam ditangani.
"Ia mesti ditangani kerana keamanan dan kestabilan dunia menjadi taruhan kerana umat Islam dan Kristian terdiri lebih separuh penduduk dunia."
"Barat wajar melayani Islam mengikut cara Islam melayani Barat. Kedua-dua pihak perlu menerima sesama mereka secara saksama."
"Hormat, tolak ansur dan kesaksamaan. Itulah prasyarat perlu untuk mewujudkan hubungan harmoni antara kedua-dua tamadun," katanya.

