Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hasrat kerajaan Kelantan untuk menghadkan perniagaan kedai makan atau restoran sehinggan jam 12 malam bukan perkara baru, kata Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah.

Malah katanya, peraturan mengenai waktu perniagaan sudah sedia ada tetapi tidak dikuat kuasa dan perlu diberi penerangan kepada semua pihak untuk menguatkuasakan peraturan itu sepenuhnya pada tahun depan.

"Setakat ini kita minta beri penerangan kepada masyarakat dan peniaga supaya boleh memahami tujuannya. Dalam lesen perniagaan sejak dulu lagi ditulis hanya hingga jam 12 dibenarkan, tapi tak ada penguatkuasaan.

"Tahun depan insya-Allah kita akan buat dan serah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaannya.

"Selepas jam 12 bukan waktu makan dah, palingl ewat makan makan pun jam 10 malam. Kalau nak keluar rumah pun apa keperluan untuk keluar? Waktu malam dalam Islam masa untuk rehat, bersama keluarga. Siang untuk bekerja," katanya kepada media selepas menyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kerajaan negeri akan melaksanakan penguatkuasaan mengehadkan perniagaan restoran hingga jam 12 malam.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob menegaskan perancangan itu dibuat bagi mengekang penularan masalah sosial dalam kalangan remaja di negeri itu.

Sementara itu Mohd Amar berkata, pihaknya akan mengambil masa untuk membuat penjelasan rasional untuk semua pihak sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, perkara itu sudah dibangkitkan sejak zaman pemerintahan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar sebelum ini.

"Perkara ini masa zaman tok guru (Nik Aziz) lagi apabila pihak polis bagi taklimat kepada kerajaan negeri antara faktor berlaku masalah sosial terutama kedai makan yang beroperasi hingga lewat malam.

"Mereka berkumpul dan buat benda negatif. Waktu itu kita tangguh dulu. Jadi perkara ini akan diperhalusi dari segi perlaksanaan sebab ada kedai beroperasi 24 jam, sekarang di peringkat dasar dulu," katanya.

Lihat Komen
ADS