Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 25: 'Aset di Turkmenistan dinilai AS$3.95b tapi bukan milik PSI'

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah Najib Razak bersambung lagi hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bekas perdana menteri berhadapan empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding mahkamah.


4.40 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Liputan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan pada kadar serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


4.31 petang: Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan untuk hari ini. Perbicaraan akan bersambung semula pada Selasa (29 Oktober) memandangkan Isnin adalah cuti umum ganti untuk sambutan Deepavali.


Saksi: 1MDB guna pernyataan PSI berkenaan pemilikan Petro Saudi Holdings (Caymans) 

4.24 petang: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata syarikat itu bergantung kepada pernyataan daripada Petrosaudi International (PSI) bahawa Petro Saudi Holdings (Caymans) adalah subsidiari penuh PSI.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata, mereka bergantung kepada pernyataan itu ketika memaklumkan Bank Negara melalui sepucuk surat pada 2009.

Kata Shahrol, surat yang ditulis ketua eksekutif kewangan 1MDB ketika itu, Radhi Mohamad itu juga menyatakan PSI adalah unit milik keluarga diraja Arab Saudi.

Ketika peguam Muhammad Shafee Abdullah bertanya sama ada dia cuba memastikan kaitan PSI dengan keluarga diraja itu benar, Shahrol mengakui dia tidak berbuat demikian.


'Aset di Turkmenistan dinilai AS$3.95b tapi bukan milik PSI'

3.45 petang - Mahkamah mendengar firma Edward Morse menilai aset yang dikatakan Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd (PSI) di Turkmenistan pada nilai AS$3.95 bilion.

Menurut pemeriksaan balas pembelaan terhadap bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, firma itu juga menilai aset lain yang dikatakan dimiliki oleh PSI di Argentina pada AS$108 juta.

Ini berdasarkan laporan firma itu yang disediakan pada tahun 2009 apabila 1MDB mengadakan perkongsian bersama PSI dengan menubuhkan sebuah syarikat yang dipanggil 1MDB-Petrosaudi Ltd.

Usaha sama itu menyaksikan 1MDB menyuntik dana tunai AS$1 bilion, manakala PSI sepatutnya menyuntik aset bernilai AS$1.5 bilion untuk membentuk 60 peratus perkongsian mereka.

Bagaimanapun, mahkamah mendengar, aset yang dikatakan dimiliki oleh PSI di Turkmenistan tidak pernah menjadi milik syarikat itu.

Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah berkata ini berdasarkan laporan media oleh The Edge, yang menyatakan bahawa aset di Turkmenistan dimiliki oleh Buried Hill Energy (Cyprus) Co Ltd.

Menurut peguam itu, The Edge mendapat semua maklumat kerana mereka membayar bekas eksekutif Petrosaudi Xavier Andre Justo bagi mendapatkan hak terhadap dokumen yang didakwa telah dicuri oleh Justo dari syarikat itu.


1MDB guna carian internet untuk sahkan aset PSI - Saksi

3.10 petang - Bekas CEO 1MDB memberi keterangan bahawa syarikat pelaburan negara itu cuma bergantung kepada kata-kata Petrosaudi Holdings untuk mempercayai bahawa syarikat tersebut memiliki aset minyak dan gas di Turkmenistan dan Argentina.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata 1MDB hanya pergi setakat melakukan carian di internet untuk mengesahkan bahawa hartanah di luar dan di darat pesisir itu sebenarnya milik rakan kongsi mereka.

Untuk rekod, PSI menggunakan aset minyak dan gas yang dikatakan sebagai langganan mereka dalam usahasama itu, dengan hartanah tersebut dinilaikan berjumlah AS$2.2 bilion.

Usahasama itu memerlukan 1MDB untuk menyuntik AS$1 bilion ke dalam syarikat kongsi mereka yang dikenali sebagai 1MDB-Petrosaudi Ltd.

"Sepanjang pengetahuan saya, pasukan Casey Tang melakukan carian di internet," kata saksi, merujuk kepada pengarah eksekutif 1MDB ketika itu.

Shahrol memberi keterangan bahawa carian di internet tidak mendapatkan hasil mengenai pemilikan aset PSI, tetapi menemukan maklumat mengenai lokasi aset PSI yang dikatakan itu dan pertikaian wilayah antara Rusia dan Turkmenistan terhadap kawasan tempat salah satu aset itu berada.

Menjawab soalan lanjut oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol berkata beliau hanya mengetahui bahawa dakwaan PSI mengenai aset itu tidak benar hanya pada tahun 2015.

Ini, tambahnya, apabila dia membacanya dalam laporan media.

Shahrol berkata, bagaimanapun, dia tidak mengemukakan perkara berkenaan kepada lembaga pengarah 1MDB selepas mengetahui mengenainya walaupun dia masih dalam syarikat itu.

Perkara itu juga tidak pernah dibangkitkan oleh ahli lembaga 1MDB selepas mereka mengetahuinya, menurut Shahrol.


2.40 petang - Prosiding bersambung selepas rehat makan tengah hari.


12.41 tengah hari -  Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan prosiding berehat untuk makan tengahhari.

Perbicaraan akan bersambung pada jam 2.30 petang ini.


Najib kata beliau bukan nak musnahkan negara - Saksi

12.35 tengah hari - Perdana menteri ketika itu Najib Razak berkata beliau tidak akan memusnahkan negara, dakwa bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi kesembilan Shahrol memberi keterangan bahawa ayat ini dikatakan Najib semasa mesyuarat, yang turut dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan pada tarikh dan tempat yang tidak ditentukan.

Shahrol menjelaskan mengapa beliau tidak memasukkan ke dalam minit mesyuarat lembaga 1MDB pada akhir 2009 mengenai penglibatan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dalam memberi nasihat kepada 1MDB dan Petro Saudi International berkenaan usahasama antara dua syarikat itu.

"Terdapat persamaan pola sebelum perjanjian dan selepas perjanjian itu. Perkara-perkara tertentu yang melibatkan Jho (Low) tidak diminitkan dan ini untuk melindungi Najib.

"Inilah cara bagaimana Najib menginginkan perkara-perkara dilakukan, saya masih ingat ketika kami sedang membubarkan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu) ke 1MDB.

"Ada mesyuarat di mana Najib berkongsi mengenai 1MDB dan dia mahukan 1MDB melakukan perkara yang berbeza dan cepat dan meninggalkan cara lama di belakang.

"Terdapat satu mesyuarat khusus yang dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan, beliau berkata, "saya bukan hendak memusnahkan negara."

"Itulah sebabnya saya percaya kepadanya (Najib) dan apa sahaja yang dilakukan untuknya adalah wajar dan baik untuk negara ini, dan itulah sebab terhadap semua keputusan yang saya buat dalam 1MDB," kata Shahrol.


Bekas CEO 1MDB tak periksa jika pendahuluan AS$700j ada pada penyata syarikat kongsi

12.05 tengah hari - Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah selanjutnya bertanya bekas CEO 1MDB mengenai perkara yang berkaitan dengan aset yang dikatakan bernilai AS$2.2 bilion yang disuntikkan oleh Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd (PSI) ke dalam syarikat kongsi mereka pada tahun 2009.

Aset di Turkmenistan dan Argentina, yang dinilai oleh firma yang dilantik oleh PSI, telah menjejaskan syarikat usaha sama itu dengan hutang AS$700 juta kepada PSI.

Ketua pegawai eksekutif 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa dia tidak pernah memeriksa dengan syarikat kongsi yang dipanggil 1MDB-Petrosaudi Ltd jika nilai pendahuluan awal AS$700 juta telah direkodkan dalam buku penyata syarikat usahasama itu.

Shahrol mengatakan bahawa dia tidak menyemak kerana dia telah menyerahkan urusan itu kepada pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang dan ahli perniagaan Low Taek Jho.


Najib adalah 1MDB, 1MDB adalah Najib - Bekas CEO

11.58 pagi - Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi bekas perdana menteri Najib Razak dan 1MDB tidak dapat dipisahkan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, bekas CEO itu menjelaskan sebab dirinya tergesa-gesa menandatangani perjanjian antara 1MDB dan Petro Saudi International.

"Adalah penting untuk menetapkan konteks mengapa keputusan mengenai perjanjian PSI dilakukan dengan pantas dan saya merempuh (buldoze) segala-galanya.

"Secara ringkas, saya percaya ini adalah kemahuan (perdana menteri ketika itu) Najib (Razak).

"Perbezaan antara 1MDB dan Najib tidak wujud dalam fikiran saya. Najib adalah 1MDB dan 1MDB adalah Najib.

"Apa sahaja yang beliau kehendaki, saya perlu menyelesaikannya.

"Pada masa itu, saya cuba mendamaikan (reconcile) antara apa yang dikehendaki oleh lembaga 1MDB dan (penasihat lembaga 1MDB) pengerusi Najib mahu," kata Shahrol.


11.43 pagi - Prosiding bersambung selepas berehat.


Mahkamah rehat sebentar, peguam ada urusan mahkamah lain

10.30 pagi - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah membenarkan rehat pendek untuk membenarkan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan pendakwa raya utama DPP Gopal Sri Ram menghadiri satu urusan yang berasingan di hadapan hakim lain.

Kedua-dua Shafee dan Sri Ram masing-masing bertindak untuk pihak yang bertentangan dalam timbang tara dalam perkara mahkamah yang berasingan.


Jho Low penasihat kedua-dua 1MDB, Petrosaudi - Saksi

10.28 pagi - Mahkamah diberitahu ahli perniagaan berkaitan 1MDB Low Taek Jho, atau Jho Low, juga memainkan peranan penasihat untuk Petrosaudi apabila kedua-dua syarikat itu terlibat dalam usahasama pada tahun 2009.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa dia tahu hal ini apabila Low sendiri memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Saksi itu berkata, bagaimanapun, beliau tidak melihatnya sebagai konflik kepentingan, walaupun Jho Low juga memberi nasihat kepada 1MDB pada masa yang sama.

Ketika ditanya peguam bela Muhammad Shafee Abdullah sewaktu pemeriksaan balas, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa Low telah menyatakan bahawa dia cuba mendapatkan keadaan menang-menang untuk 1MDB dan Petrosaudi.

Shafee: Sekarang, pada awal bulan September, anda tahu mengenai perkara ini. Tidakkah timbul (persoalan) kepada anda ... Anda tidak perlu pergi ke sekolah undang-undang atau sekolah perniagaan ... Dia mempunyai konflik kepentingan.

Shahrol: Dia telah memberi nasihat kepada Datuk Seri Najib terlebih awal daripada ketika dia bersama Petrosaudi. Apabila dia menelefon saya mengatakan dia memainkan peranan penasihat kepada Petrosaudi, dia juga jelaskan kepada saya bahawa dia mahu mencipta keadaan menang-menang antara kedua-dua negara bagi pihak PM.

Shafee: Dia menasihati rakan kongsi berpotensi anda dan dia menasihati 1MDB, menghadiri mesyuarat lembaga anda, mendengar rahsia anda, apabila anda membuat keputusan. Bukankah itu konflik kepentingan?

Shahrol: Pada masa itu saya mengambilnya sebagai penasihat yang dipercayai oleh Datuk Seri Najib dan bahawa PM tahu apa yang dia lakukan untuk memudahkan urusan (antara Petrosaudi dan 1MDB).

Saya tidak pergi lebih daripada itu dan mengambilnya dengan niat baik.


'Ok saya tandatangan perjanjian dengan PSI? Sekutu Low kata ok'

10.25 pagi - Mahkamah mendengar bekas CEO 1MDB hanya mengetahui bahawa syarikat kongsi dengan Petrosaudi Holdings sudahpun mempunyai hutang besar pada hari yang sama dia dijadualkan untuk memeterai kontrak usahasama pada tahun 2009.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa dia bagaimanapun, terus menandatangani perjanjian itu kerana percaya kepada Casey Tang, yang kemudian menjadi pengarah eksekutif 1MDB.

Saksi itu berkata beliau telah bertanya kepada Tang apabila mengetahui mengenai hutang AS$700 juta yang ditanggung oleh 1MDB-Petrosaudi Ltd hanya beberapa jam sebelum menandatangani perjanjian pada 28 September 2009.

Tang, yang telah diketahui sebagai sekutu Jho Low, kemudian menasihatkan Shahrol bahawa adalah baik untuk dia menandatangani perjanjian dengan PSI itu.

"Pada masa itu, persepsi saya adalah ini bukan sesuatu yang luar biasa dan telah menjadi sebahagian daripada rundingan yang saya tidak terlibat.

"Pada masa itu, saya bertanya soalan Casey, (perjanjian) ini okay untuk ditandatangani. Dan dia berkata okay.

"Jadi saya telah mempercayai nasihatnya. Jadi saya pergi dan melakukannya," kata Shahrol.


Perjanjian dengan PSI beri 1MDB masa 48 jam untuk batal kongsi - Saksi

10.15 pagi - Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB memberi keterangan bahawa perjanjian usahasama yang ditandatangani oleh syarikat itu dengan syarikat Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd (PSI) pada tahun 2009 hanya memberi 1MDB satu tempoh masa kurang dari dua hari untuk menamatkan perkongsian itu.

Menurut pemeriksaan balas oleh pembelaan terhadap Shahrol Azral Ibrahim Halmi, perjanjian yang ditandatanganinya menyatakan bahawa 1MDB mempunyai masa sehingga 30 September 2009 untuk menamatkan perkongsian mereka dengan PSI jika 1MDB mendapati aset PSI yang disuntikkan ke dalam usahasama itu adalah nilai lebih rendah daripada yang dikatakannya.

Shahrol menandatangani perjanjian itu pada 28 September 2009.

Saksi pendakwaan itu sebelumnya memberi keterangan bahawa syarikat kongsi yang disebut 1MDB-Petrosaudi Ltd sudah berhutang AS$700 juta kepada PSI.

Ini kerana ketiga-tiga aset yang disuntik oleh PSI dikatakan bernilai lebih tinggi daripada apa yang PSI bersetuju untuk disumbangkan dalam usahasama tersebut.

Menurut keterangan Shahrol, 1MDB bersetuju untuk menyumbang AS$1 bilion untuk langganan 40 peratus perkongsian itu, manakala PSI pula menyuntik AS$1.5 bilion dalam bentuk aset.

Aset daripada PSI kemudian dikatakan bernilai AS$2.2 bilion berdasarkan penilaian yang disediakan oleh syarikat yang diupah PSI juga.


'Hutang 1MDB-PSI AS$700j sebab nilai aset PSI didakwa terlalu tinggi'

10.00 pagi - Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memulakan keterangannya hari ini menjawab pertanyaan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah mengenai mekanisme perkongsian syarikat itu bersama Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd (PSI) pada tahun 2009.

Shahrol menerangkan kepada mahkamah bahawa syarikat kongsi yang dipanggil 1MDB-Petrosaudi Ltd sudah berhutang AS$700 juta apabila beliau menandatangani perjanjian usahasama antara keduanya pada 28 September 2009.

Katanya, ini kerana dua aset yang disuntik oleh PSI ke dalam entiti perkongsian itu dikatakan bernilai AS$2.2 bilion, iaitu AS$700 juta lebih tinggi daripada AS$1.5 bilion yang dipersetujui PSI untuk disumbangkan dalam usahasama itu.

Apabila Shafee meminta Shahrol menamakan dua aset yang dikatakan disuntik oleh PSI ke dalam syarikat kongsi itu, bekas CEO 1MDB itu berkata dia tidak dapat mengingat nama mereka kecuali salah satu daripadanya adalah padang minyak (oil fields) di Turkmenistan dan aset lain di Argentina.

Mahkamah juga mendengar dari Shahrol bahawa lembaga pengarah 1MDB, bagaimanapun, tidak pernah melihat kertas pemilikan mengenai aset-aset ini yang kononnya dimiliki oleh PSI.


Pembelaan cari dokumen SPRM diambil dari bekas pegawai Petro Saudi

9.45 pagi - Pasukan pembelaan Najib Razak mencari dokumen yang diterima oleh SPRM daripada bekas eksekutif Petro Saudi International, Xavier Andre Justo.

Peguam Al Firdaus Shahrul Naing memaklumkan Mahkamah Tinggi mengenai permohonan ini, yang mana salinan kertas klausanya hanya disampaikan kepada pendakwaan pagi ini.

Ketua pendakwaraya, DPP Gopal Sri Ram kemudiannya memohon mahkamah memberikan tarikh pengurusan kes untuk memberikan mereka masa untuk makluman balas.

Sri Ram berkata ini kerana pihak pendakwa perlu menyemak dengan SPRM, di mana beberapa pegawai mungkin menyiasat kes lain dan tidak berada di Kuala Lumpur pada masa ini.

Bekas eksekutif Petro Saudi International, Xavier Andre Justo.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 31 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut.

Mengikut senarai kertas klausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, permohonan itu menyenaraikan Najib sebagai pemohon dan pendakwaan sebagai responden, dalam perkara itu di hadapan hakim Sequerah pagi ini.

Permohonan pasukan pembelaan Najib supaya SPRM menyerahkan dokumen yang dikatakan terdapat dalam pendrive Justo, didakwa berada dalam jagaan pendakwaan.

Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 51A Kanun Tata Cara Jenayah (KTJ), dan Seksyen 60 (3) Akta Keterangan.

Seksyen 51A dari KTJ merujuk kepada keperluan pendakwa untuk membekalkan dokumen mahkamah sebelum permulaan perbicaraan dan keadaan di mana mahkamah boleh membenarkan tertuduh memeriksa dokumen mahkamah tertentu walaupun selepas perbicaraan telah dimulakan.

Seksyen 60 (3) Akta Keterangan pula merujuk kepada keadaan di mana mahkamah boleh memerintahkan pengeluaran bahan atau dokumen untuk pemeriksaannya jika keterangan lisan membuat rujukan terhadapnya.


9.39 pagi -  Prosiding bermula Najib Razak masuk ke kandang tertuduh.


Perbicaraan kes masuk hari ke 25 berikutan jurang penangguhan selama dua hari dalam prosiding minggu ini.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah tidak diteruskan pada hari Selasa dan Rabu disebabkan bekas perdana menteri perlu menghadiri serahan secara lisan kes berasingan melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International di mahkamah lain.

Perbicaraan kes 1MDB pada Isnin lalu berlangsung kurang daripada setengah hari kerana peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah perlu melakukan pemeriksaan mata.

Pembelaan pada hari ini akan mempunyai sehari penuh untuk menyambung semula pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pelaburan negara itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Tiga hari lalu, saksi itu memberi keterangan bahawa majlis yang dirancang di Putrajaya untuk menandatangani perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Limited (PSI) pada 29 September 2009 tidak pernah berlaku.

Shahrol memberitahu mahkamah bahawa dia dan bekas ketua pegawai eksekutif PSI Tarek Obaid menandatangani perjanjian itu secara berasingan dan bukan pada satu majlis rasmi yang dirancang terdahulu yang sepatutnya menghadirkan Najib dan Raja Arab Saudi pada ketika itu Raja Abdullah Abdul Aziz al-Saud.

Lihat Komen
ADS