Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada dana dan latihan' - Sebab k'jaan bergelut beri keadilan pada mangsa cabul kanak-kanak
Diterbitkan:  Oct 24, 2019 2:52 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

PARLIMEN | Kekangan peruntukan dan latihan yang tidak cukup antara sebab mengapa undang-undang bergelut dalam merakam kenyataan saksi daripada kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa kesalahan seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong membangkitkan perkara itu terutama berkaitan Child Intervie Centre (CIC) serta kemudahan mahkamah untuk mangsa bawah umur.

CIC ditubuhkan di setiap negeri susulan pewartaan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007. Pusat itu seharusnya mempunyai kemudahan untuk polis merakam keterangan video daripada kanak-kanak untuk digunakan dalam perbicaraan kemudiannya.

"Kekangan yang wujud ialah kemudahan di CIC tidak diselenggara dengan baik yang menyebabkan kerosakan kepada peralatan rakaman video.

"Ini disebabkan kekangan belanjawan," katanya, sambil menambah ia menyebabkan penyediaan transkrip seperti yang dinyatakan dalam undang-undang tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) Selasa lalu, berkenaan cabaran yang dihadapi pendakwa dan hakim dalam kes melibatkan mangsa seksual kanak-kanak.

Selain kerosakan peralatan, Liew juga berkata kebanyakan penemubual tidak terlatih untuk menjalankan pemeriksaan utama kerana banyak soalan yang berbentuk memimpin saksi (leading question) yang tidak diterima oleh mahkamah.

"Kemudahan fasiliti di Mahkamah untuk saksi kanak-kanak adalah terhad.

"Kemudahan ini tidak disediakan kerana kekangan belanjawan. Tiada bilik video link, penghadang, patung anatomi dan sebagainya," katanya.

Katanya lagi, masalah lain ialah kurangnya kemudahan dan peruntukan undang-undang untuk membantu saksi kanak-kanak yang "mempunyai kelainan upaya (OKU), masalah percakapan, peka-bisu, bayi dan sebagainya".

Kes tahfiz

Cabaran lain menurut Liew ialah ahli keluarga yang tidak memberi kerjasama dengan polis terutama jika kes melibatkan keluarga.

"Gangguan dan tekanan dari pihak keluarga dan ahli-ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian membuatkan mangsa (kanak-kanak) tertekan dan kesudahannya menarik balik kes."

Selain itu, beliau berkata ada juga mangsa kanak-kanak atau keluarga yang menarik balik laporan selepas siasatan sudah lengkap dan sedia untuk perbicaraan, selain penyelesaian luar mahkamah - antaranya melalui pampasan kewangan dan perkahwinan - yang dibuat tanpa pengetahuan pendakwaan.

Sejak 2017, terdapat 3,738 kes baru berkenaan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk 978 kes pada 2019 dengan 1,131 kes telah dibawa ke mahkamah dan selesai dengan sabitan.

Jawapan parlimen Lew di tengah-tengah isu pengguguran kes cabul melibatkan pelajar maahad tahfiz di Perak, hanya dua bulan selepas Mahkamah Majistret Ipoh memutuskan kesalahan ada berlaku.

Peguam Negara Tommy Thomas menafikan mengarahkan kes itu digugurkan, dan berkata suratnya kepada mahkamah adalah untuk memaklumkan majistret telah silap dalam membuat permohonan Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan seorang majistret untuk memeriksa pengadu.

Thomas berkata Seksyen 133 hanya boleh digunakan sekiranya polis gagal menjalankan siasatan.

Katanya, polis telah menyiasat perkara itu sebanyak dua kali tetapi menyimpulkan bahawa tidak ada bukti yang mencukupi, yang menyebabkan kes itu diklasifikasikan sebagai "Tiada Tindakan Lanjut (NFA)".

Lihat Komen
ADS