Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Isa Samad: Saksi nafi pakat dengan tiga individu seleweng RM10 juta

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties, Ikhwan Zaidel menafikan dirinya berkomplot dengan tiga individu lain dalam menyeleweng RM10 juta komisyen hasil penjualan Hotel Merdeka Palace milik Gegasan Abadi kepada Felda pada 2014.

Beliau membuat penafian itu ketika pemeriksaan balas dengan peguam Salehuddin Saidin yang mewakili bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad dalam perbicaraan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan RM3 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Salehuddin mengajukan bahawa Ikhwan berkomplot dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd Mohd Zaid Abdul Jalil; bekas pembantu khas Isa, Muhammad Zahid Md Arip; dan pengarah JV Evolution, Azizi Abd Wahab untuk menyeleweng wang itu.

"Ini kerana harga dipersetujui oleh lembaga pengarah Gegasan Abadi RM150 juta sahaja. Anda diberi mandat untuk meneruskan penjualan hotel dengan melantik JV Evolution dengan janji sekiranya dapat jual hotel itu melebihi RM150 juta, bakinya akan dimasukkan ke JV Evolution sebagai komisyen.

"Tapi anda tidak menggunakan JV Evolution untuk rundingan dengan FIC (Felda Investment Corporation). Anda bersama Zahid dan Zaid meletakkan harga RM160 juta sedangkan harga yang dibincangkan oleh lembaga Gegasan Abadi RM150 juta," kata Salehuddin.

Ikhwan yang merupakan saksi ke-16 pendakwaaan tidak setuju dengan kenyataan Salehuddin itu.

Salehuddin: Kenapa anda tidak maklumkan harga tawaran baru kepada lembaga Gegasan Abadi?

Ikhwan: Tak perlu. Ia bukan duit mereka (wang yang melebihi RM150 juta)

Salehuddin: Kalau begitu duit itu milik empat orang kamu?

Ikhwan: Tidak setuju

Salehuddin: Kalau betul lembaga pengarah Gegasan Abadi beri mandat kepada anda, adakah anda setuju dengan saya bahawa semua keputusan sepatutnya datang dari lembaga pengarah Gegasan Abadi?

Ikhwan: Tidak setuju

Salehuddin: Anda tidak maklumkan kepada lembaga Gegasan Abadi tentang tawaran RM160 juta kerana anda cuba dapatkan untung lebihan?

Ikhwan: Tidak setuju.

Salehuddin: Kenapa anda lantik Azizi, anda cuba alihkan RM10 Juta melalui syarikat Azizi?

Ikhwan: Tidak setuju.

Salehuddin: Ini percaturan licik anda, Zahid, Zaid dan Azizi?

Ikhwan: Tidak setuju.

Salehuddin: Anda gunakan nama Isa, kononnya Isa minta (suapan), sebenarnya Isa tidak pernah minta?

Ikhwan: Tidak setuju.

Salehuddin: Anda maklum kepada lembaga pengarah Gegasan Abadi RM150 juta, anda minta Zahid dan Zaid tetapkan harga RM160 juta (di FIC) jadi baki RM10 juta (komisyen kepada syarikat Azizi) diagihkan sesama kamu?

Ikhwan: Itu cerita (rekaan) anda.

Ikhwan mengesahkan bahawa lembaga pengarah Gegasan Abadi bersetuju untuk menjual hotel di Kuching itu tidak kurang daripada RM150 juta dan memberi mandat kepada Ikhwan untuk mencari pembeli.

Selepas itu, Ikhwan berkata dia memperkenalkan dan melantik syarikat ejen hartanah JV Evolution milik Azizi kepada lembaga pengarah, dengan syarat jika JV Evolution mampu menjual hotel itu melebihi RM150 juta, bakinya akan diberikan kepada syarikat tersebut sebagai komisyen.

Terdahulu, Ikhwan dalam pernyataan saksi berkata RM3.09 juta yang diberikannya kepada Isa melalui Zahid Md Arip adalah daripada Azizi.

Isa, 70, sedang menghadapi satu pertuduhan salah guna kuasa serta sembilan tuduhan menerima rasuah melibatkan RM3 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 26 hingga 28 November ini untuk perbicaraan seterusnya.  

Lihat Komen
ADS