Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setiap tahun dua tiga kali banjir melanda - Penduduk Hilir Perak
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Penduduk di beberapa buah kampung di Changkat Jong di sini menganggap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong sebagai ‘rumah kedua’ kerana kerap kali dipindahkan akibat banjir sejak beberapa tahun lepas.

Banjir yang sering berlaku dikatakan akibat hujan lebat beberapa hari di Sungkai dan Bidor sehingga menyebabkan aliran air Sungai Sungkai dan Sungai Bidor bertembung di Changkat Jong seterusnya melimpah ke kampung-kampung berhampiran.

Bagi Mazlinda Mohd Asri, 49, setiap tahun hampir dua atau tiga kali banjir melanda sehingga menyebabkan penduduk terpaksa tinggal di PPS beberapa hari sehingga dia dan keluarga telah lali.

Mazlinda yang tinggal di Kampung Batu 8 berkata sebaik dibenarkan pulang dari PPS, keluarganya hanya mengemas ala kadar kerana khuatir banjir akan berlaku dalam tempoh terdekat.

“PPS ini sudah macam rumah kedua kami. Kadang-kadang rasa seronok juga dapat berkumpul beramai-ramai dengan jiran dan juga saudara yang tinggal sekampung tetapi dalam hati tetap risau memikirkan keadaan rumah dan barang yang rosak akibat banjir.

Kami difahamkan memang beberapa tindakan telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini tetapi (banjir) tetap berlaku, walaupun kami telah biasa, ia sangat memenatkan,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS SK Changkat Jong di Teluk Intan, semalam.

Saleha Heja, 58, pula berkata sudah tidak terkira berapa kali dia serta keluarga ditempatkan di PPS itu dan mahu ada pihak tampil mengkaji serta mengambil tindakan efektif bagi membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah banjir.

Katanya biarpun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membesarkan sistem perparitan, tetapi ia masih tidak mampu menampung aliran air tersebut sehingga melimpah dan menyebabkan banjir.

“Dah lebih 10 tahun, memang penat. Untuk mengemas rumah selepas banjir juga akan mengambil masa sehingga seminggu kerana keadaan rumah akan menjadi sangat kotor, berlumut dan berminyak,” katanya yang juga tinggal di Kampung Batu 8.

Sementara itu, Mohd Ibrahim Ramli, 32, yang ditemui di kediamannya di Lorong Mesra Batu 7 ½ berkata dia berharap pihak berwajib dapat menambah ketinggian ban sebagai langkah mengurangkan masalah banjir itu.

“Mungkin dengan menaikkan ban dengan lebih tinggi air tidak akan melimpah atau meletakkan pam air yang lebih besar dan canggih,” katanya yang merupakan seorang kontraktor.

Banjir di Daerah Hilir Perak sejak Jumaat lalu membabitkan Kampung Batu 9, Batu 7, Batu 8, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Batu 8 (Lorong Sidang Osman) dan Batu 8 (belakang Klinik).

- Bernama

Lihat Komen
ADS