Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rogol juvana naik kerana mudah dapat bahan lucah - polis
Diterbitkan:  Oct 25, 2019 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Satu pertiga daripada kes rogol yang dilaporkan dalam masa sepuluh bulan bulan pertama 2019 merupakan kes yang melibatkan pesalah laku juvana, berdasarkan statistik polis.

Berdasarkan laporan eksklusif The Star hari ini, mangsa kebanyakannya terdiri daripada perempuan muda berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily, faktor utama perkara tersebut ialah capaian yang lebih mudah kepada bahan pornografi, terutamanya bahan dalam talian dan daripada media sosial.

Daripada 822 kes rogol yang dilaporkan setakat ini untuk tahun 2019, 289 daripadanya merupakan pesalah laku juvana, atau 35 peratus.

Ini menunjukkan peningkatan kes rogol juvana sejak tiga tahun lalu.

Pada 2016, 25 peratus daripada 1,689 kes rogol melibatkan perogol juvana (427 kes), ia meningkat kepada 31 peratus pada tahun 2017 (492 kes) daripada 1,582 kes.

Tahun lepas, jumlah kes rogol menurun kepada 1,327 kes, tapi perogol juvana masih lagi merupakan 34 peratus daripadanya (451 kes).

Terpengaruh video terlampau

Kata Choo, majoriti kes rogol juvana melibatkan remaja, namun ada juga kes melibatkan kanak-kanak yang cuba merogol rakan sebaya mereka.

“Kebanyakan kes melibatkan pasangan muda yang nak cuba buat seks selepas menonton video lucah.

“Ada juga berlaku kanak-kanak bawah umur 12 tahun cuba meniru aksi seks yang mereka lihat dalam video,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Choo berkata kebanyakan pesalah laku juvana ini sama ada tidak cukup matang atau tidak cukup kesedaran untuk memahami kesan daripada tindakan rogol, sama ada ia dilakukan secara paksa atau statutori (secara suka sama suka, tapi salah seorang pelaku masih bawah umur).

Laporan itu turut memetik pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS, yang turut berpendapat pendedahan terhadap bahan-bahan terlampau boleh menyumbang kepada peningkatan kes rogol juvana.

Satu lagi faktor yang dibangkitkannya ialah tidak cukup pendidikan seks di sekolah.

Amar mencadangkan pelajar diajar tentang “tingkah laku perlindungan seksual” untuk mempersiapkan diri mereka apabila berhadapan tindakan yang menjurus ke arah seksual.

“Kita perlu ajar kanak-kanak kita pendidikan seks yang sepatutnya, kita boleh panggil ia sebagai ‘tingkah laku perlindungan seksual’.

“Kanak-kanak boleh diajar bagaimana hendak beritahu ibu bapa mereka bila seseorang mencadangkan, buat atau tunjuk sesuatu kepada mereka, termasuklah bagaimana untuk menangani material lucah apabila mereka ditunjukkan bahan itu,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS