Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan gulung tikar dirancang lebih awal - Bekas timb menteri

Bekas timbalan menteri penerangan dan Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) Khalid Yunus menuntut penjelasan berhubung beberapa isu yang timbul susulan penutupan operasi syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua negara itu.

Khalid mendakwa penutupan operasi syarikat penerbitan itu telah dirancang lebih awal.

Menurutnya, ia dapat dilihat melalui pemindahan saham milik Utusan Melayu Sdn Bhd yang bermula pada 23 Ogos hingga 7 Okt lalu.

"Mengapa hanya selepas 3 hari pengumuman pelan baik pulih kewangan di buat dengan menaikkan harga penjualan akhbar, saham Utusan di dalam Dilof Sdn Bhd dipindah milik kepada pemilik yang baru?

"Semenjak bila sebenarnya rancangan memindah milik saham Utusan di dalam Dilof dirancang kerana kami percaya ianya adalah satu pelan terancang?

“Apa yang boleh disimpulkan, Utusan Melayu memang hendak ditutup dan pengurusan baru Utusan Melayu hanya mahukan lesen dan permit percetakan akhbar," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, dua akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Utusan Malaysia dan Kosmo! telah gulung tikar.

Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019.

Menurut memo yang dikeluarkan pengerusi eksekutif Utusan Melayu pada ketika itu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir (gambar, atas) berkata syarikat itu tidak lagi mampu membayar hutang untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

"Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

"Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019," menurut memo berkenaan.

Susulan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad menjual 70 peratus kepentingan Dilof kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia), ia telah dinamakan semula sebagai Media Mulia Sdn Bhd.

Sementara itu, Khalid yang juga bekas menteri pendidikan meminta Abdul Aziz  menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan KVUM berhubung pindahan saham berkenaan.

Dakwanya, saham Syarikat Media Mulia dimiliki oleh Syarikat Sutera Bakti Sdn Bhd yang sahamnya juga dimiliki oleh Syarikat Perspective Lane (M) Sdn Bhd.

Menurutnya lagi, pengarah Syarikat Perspective Lane Sdn Bhd berkait dengan keluarga Syed Mokhtar Al Bukhari dan anak-anak.

"Pihak kami bukan mempertikaikan status penggulungan dan menghormati keputusan yang diambil tersebut kepada siapa pun syarikat tersebut diambil alih.

"Apabila saham Utusan dipindah milik pada 23 Ogos, bilakah mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah dibuat dan keputusan-keputusan penting dicapai seperti pelantikan Pelikuidasi UHY Advisory, tarikh pelikuidasi akan menyita bangunan dan lain-lain lagi memandangkan perkara-perkara yang disenyapkan ini adalah memprejudiskan hak pekerja-pekerja sedia ada?

"Mengapa pada 7 Okt 2019, ketika pengurusan tahu pelikuidasi akan hadir dan menyita bangunan Utusan, tiada sebarang penerangan rasmi yang jelas ada di buat kepada pekerja yang masih terpinga-pinga ketika hadir pada 8 Okt 2019?" Soalnya.

Pada 14 Oktober lalu, anggota KVUM Johan Jaaffar turut mempertikaikan tindakan Abd Aziz mengambil alih Utusan meskipun mengetahui masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu tetapi kemudiannya memilih penggulungan sukarela pemiutang.

Johan berkata Abd Aziz selaku pengerusi eksekutif Utusan Melayu tidak boleh membenarkan akhbar itu "dibunuh" begitu saja, sebaliknya perlu diberi peluang untuk terus hidup.

Lihat Komen
ADS