Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri kata tak boleh ambil tanah Kg Baru guna Akta Tanah, tetapi...

Kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah di Kampung Baru yang enggan dijual pemiliknya, kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob.

Ismail membangkitkan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menyatakan kerajaan boleh mengambil mana-mana tanah untuk projek awam.

"Kalau hendak buat hospital di Kampung Baru, baru boleh ambil. Kalau rakyat (pemilik) tidak setuju pun boleh ambil. Kemudian kalau tidak setuju dari segi nilai pampasan, tuan tanah boleh saman di mahkamah untuk tentukan jumlah pampasan.

“Di Kampung Baru bukannya untuk kegunaan awam tetapi adalah untuk tujuan komersil. Kalau tujuan komersil, Akta Pemilikan Tanah 1960 tidak membenarkannya,” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas Menteri Wilayah Khalid Samad yang dilaporkan berkata akta tersebut mungkin digunakan dalam keadaan tertentu dalam isu tanah Kampung Baru, iaitu jika ada pemilik yang enggan menjual lotnya di saat pemilik lot lain tanah itu sudah bersetuju.

"Jadi pada ketika itu mungkin kita akan terpaksa pertimbangkan (pengambilan secara paksa mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960), tetapi seboleh-bolehnya, kita mahu supaya orang Kampung Baru bersatu hati bersama membangunkan kawasan itu,” katanya seperti dipetik Berita Harian pada 26 Oktober lalu.

Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 memang menyatakan berkenaan pengambilan mana-mana tanah untuk "apa-apa maksud awam".

Bagaimanapun Seksyen 3(1)(b) akta itu menyatakan mana-mana tanah boleh diambil "yang pada pendapat pihak berkuasa negeri adalah benefisial untuk kemajuan ekonomi Malaysia atau mana-mana dari itu atau kepada orang ramai secara am atau mana-mana kelas orang ramai".

Seksyen 3(1)(c) pula menyatakan mana-mana tanah boleh diambil "bagi maksud perlombongan atau untuk maksud-maksud kediaman, pertanian, perdagangan, perindustrian atau rekreasi atau mana-mana kombinasi maksud itu".

Terdahulu, kerajaan membuat tawaran baru kepada pemilik tanah Kampung Baru iaitu dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi, berbanding RM850 untuk satu kaki persegi sebelum ini.

Katanya, pemilik akan dibayar secara tunai RM850 sekaki persegi, manakala baki RM150 sekaki persegi lagi akan diberikan sebagai pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal dibentuk.

Ismail berkata penduduk Kampung Baru berhak ke atas tanah mereka jika kerajaan bukan mengambilnya untuk projek kegunaan awam.

“Tetapi kalau setakat hendak buat komleks beli belah dan sebagainya, bagi saya tiada hak bagi kerajaan rampas tanah mereka. Ia salah dari segi undang-undang, saya tidak tahu undang-undang mana menteri wilayah hendak guna,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS