Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mungkin silap saya anggap kena dengar Najib dalam semua hal 1MDB'

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa mungkin salahnya 'mendengar' cakap Najib Razak dalam hal berkaitan dengan dana syarikat milik negara itu.

Shahrol Azral, 49, saksi dalam kes membabitkan Najib, yang disoal peguam Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas mengenai sama ada beliau mempunyai kewajipan fidusiari terhadap bekas perdana menteri itu, berkata: 'Ya'.

Saksi itu kemudian diminta oleh peguam untuk mengemukakan apa-apa dokumen yang menyatakan bahawa beliau mempunyai kewajipan fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat.

Shafee: Adakah kamu tahu tugas fidusiari kamu hanya kepada 1MDB, sebagai sebuah syarikat, malah bukan kepada pemegang saham? Ini undang-undangnya.

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Shafee: Bolehkah kamu tunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan kamu mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat?

Shahrol Azral, bagaimanapun tidak dapat mengemukakan dokumen berkenaan.

Shafee: Kerana kamu tidak faham konsep undang-undang syarikat, saya katakan kepada kamu bahawa kamu tidak faham mengenai undang-undang syarikat.

Shahrol Azral: Mungkin saya silap untuk menganggap bahawa saya patut mendengar Datuk Seri Najib dalam semua hal berkaitan 1MDB.

Peguam itu kemudian menyoal saksi sama ada Najib pernah memintanya untuk hanya mendengar lembaga penasihat dan tidak melaporkan kepada lembaga pengarah.

"Tidak, beliau tidak pernah. Kalau boleh saya tambah, beliau juga tidak pernah berkata ‘Shahrol (Azral) dengar kepada lembaga pengarah sahaja, jangan dengar cakap saya’,” kata saksi itu.

Shafee kemudiannya merujuk kepada minit mesyuarat pada Oktober 2009, yang menyatakan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat.

Shahrol Azral berkata dokumen berkenaan disediakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Shafee: Jho Low nampaknya tahu apa yang PM mahu cakap.

Shahrol Azral: Ya, menarik bukan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-Bernama

Lihat Komen
ADS