Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GLIC, GLC perlu memacu ekonomi negara, kata PM
Diterbitkan:  Oct 30, 2019 12:03 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu menumpukan usaha mewujudkan institusi yang kukuh, dasar bersifat menyokong serta infrastruktur yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan negara, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad dengan demikian, ia akan menjadi pemangkin yang akan menggalakkan sektor swasta di samping mengadakan persekitaran positif serta kondusif ke arah memudahkan pembangunan sosioekonomi negara ini.

“GLC perlu berperanan dalam usaha ini untuk merealisasikan pertumbuhan ketara yang memacu negara kita, lebih-lebih lagi perniagaan dan perdagangan sedang mengalami perubahan pesat dalam persekitaran global baharu ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan khas di Sidang Kemucak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata semasa Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi tinggi pada 1990an sebelum berlakunya krisis kewangan Asia pada 1998, sektor swasta merupakan enjin utama kejayaan negara.

“Hasilnya, selama 10 tahun sebelum 1998, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar berada dalam trajektori kukuh dengan purata sembilan peratus,” katanya.

Beliau berkata wujud ketidakseimbangan penyertaan sektor awam dan swasta dalam korporat Malaysia hari ini, dan jika tidak ditangani, keadaan ini boleh menjejaskan masa depan negara.

“Kita tidak boleh berpegang kepada status quo semasa. Pemacu instrumental bagi pertumbuhan negara adalah apabila korporat Malaysia melaksanakan peranannya sebagai pengubah pasaran,” katanya.

Perdana Menteri berkata GLC dan GLIC menjadi tonggak penting pembangunan negara namun ekonomi global juga telah berubah secara ketara sejak mereka mula ditubuhkan.

“Dalam era dunia baharu ini, dengan kepesatan kecanggihan teknologi dan peningkatan globalisasi, sekiranya kita kekal tidak berubah, kita tidak akan dapat bersaing dalam ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata dengan lebih banyak penekanan kepada Industri 4.0 dan pendigitalan, perniagaan sewajarnya menjadi fleksibel di samping dapat menyesuai serta menerima perubahan ini.

“Penting untuk sektor swasta menyesuai dengan landskap yang berkembang ini dan berada di kedudukan kukuh untuk menghadapi banyak cabaran berterusan yang turut wujud,” katanya.

Beliau berkata untuk membangunkan masa depan Malaysia yang kukuh dan inklusif, GLC dan GLIC perlu menilai semula tahap penyertaan mereka dalam korporat Malaysia selain mengenal pasti sinergi dengan sektor swasta, khususnya ke arah memperkasakan usahawan.

“Pengembangan sektor swasta penting untuk menggalakkan pertumbuhan menerusi pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan, membolehkan usahawan meningkatkan skala perniagaan dan membawa masuk pelaburan langsung asing bagi mempercepatkan pertumbuhan domestik,” katanya.

Beliau berkata langkah ini akan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan yang akan turut diiringi peningkatan pendapatan dan penambahbaikan kualiti hidup termasuk bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Dr Mahathir berkata GLC juga perlu berupaya untuk bersama-sama dalam ruang dengan bersaing secara saksama.

“GLC tidak perlu menyesakkan ruang itu dan bersaing secara langsung dengan sektor swasta, terutama dalam perniagaan bukan strategik,” katanya.

Beliau berkata GLC dan sektor swasta boleh menjadi enjin pertumbuhan negara sekiranya mereka amat produktif dan kompetitif.

“Oleh itu GLC perlu diuruskan secara profesional dan tidak mengekang persaingan sektor swasta. Landskap yang kompetitif akan memastikan persaingan yang sihat dan hasil yang cekap,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menggesa korporat Malaysia supaya berperanan lebih besar dalam penciptaan nilai dan kekayaan.

“Sebahagian daripada proses ini, adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan pembangunan bakat. Bagi peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi akan membawa manfaat lebih besar manakala sektor swasta dan GLC perlu menyokong sistem pendidikan sedia ada untuk pembangunan bakat,” katanya.

Dr Mahathir berkata penting untuk memperkasakan usahawan yang akan menyumbang kepada sektor swasta yang dinamik.

“Kita juga perlu memperkukuhkan institusi sedia ada untuk mewujudkan bakat yang diperlukan oleh sektor swasta dan sektor awam," katanya.

Beliau berkata dengan Asia Tenggara bersedia menjadi hab pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, Malaysia di tengah-tengahnya, berada dalam kedudukan yang menjadi pilihan utama.

“Malaysia mempunyai kelebihan. Kita memiliki banyak sumber dan prospek di samping bersedia untuk memulakan era baharu pertumbuhan,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia merupakan negara kecil berbanding beberapa negara lain, namun Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini menerusi pembinaan asas yang kukuh.

“Walaupun kita berupaya mencapainya, namun kita berada di hujung tanduk sama ada kita berjaya atau gagal,” katanya.

Sidang kemuncak yang julung kali diadakan hari ini, bertemakan ‘Merangsang Semula Korporat Malaysia’ membincangkan perkara penting mengenai sektor korporat khususnya dalam isu berkaitan keperluan bagi pemodenan dan transformasi sektor korporat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS