Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes LTTE: PKR Kepong beri ruang polis siasat bekas ketua cabang
Diterbitkan:  Oct 30, 2019 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

PKR Kepong mengambil maklum salah seorang tertuduh yang didakwa semalam kerana memiliki bahan berkaitan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) adalah bekas ketua cabangnya.

Meskipun menyatakan simpati terhadap isteri tertuduh A Kalaimughilan yang mendakwa suaminya bukan pengganas, Ketua Cabang PKR Kepong Na’im Brundage berkata pihaknya akan memberi ruang pihak berkuasa untuk menyiapkan siasatan.

"Kepimpinan PKR Kepong bersimpati akan situasi saudara Kalaimughilan dan keluarga dan kami ingin menzahirkan penghargaan kami terhadap segala sumbangan saudara Kalaimughilan kepada perjuangan PKR di kawasan parlimen Kepong ketika beliau menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai ketua cabang.

"Namun begitu sebagai sebuah parti politik yang menghormati konsep pembahagian kuasa yang diamalkan di negara demokrasi ini, pihak kami akan memberikan ruang secukupnya kepada pihak polis serta Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan siasatan.

"Pihak kami mempunyai segala kepercayaan bahawa semua pihak terlibat akan berjaya untuk melaksanakan tugas masing-masing tanpa sebarang unsur campur tangan politik daripada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Na'im juga menjanjikan pihaknya akan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga tertuduh sekiranya diperlukan.

Kalaimughilan, seorang usahawan besi skrap berusia 28 tahun, didakwa di Selayang dengan dua pertuduhan, Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan, kerana memiliki barang-barang yang berkaitan dengan LTTE.

Beliau adalah antara 10 suspek yang didakwa dalam siri dakwaan berhubung LTTE di beberapa mahkamah di seluruh negara semalam.

Tuduhan yang dikenakan terhadap 10 individu itu termasuklah menyokong LTTE dan memiliki serta mempamerkan bahan-bahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas itu.

Dua suspek lain dijangka akan didakwa esok.

Isteri Kalaimughilan, M Tamilmalar, sebelum ini mempersoalkan tindakan pemimpin PKR yang disifatkannya sebagai berdiam diri dalam kes suaminya.

Lihat Komen
ADS