Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Malaysia dipaksa tutup akaun bank warga, syarikat Iran

Malaysia menghadapi tekanan yang sangat kuat daripada pihak tertentu supaya menutup akaun bank individu dan syarikat Iran di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Malaysia juga diancam bank-bank miliknya di luar negara akan ditutup sekiranya gagal berbuat demikian, kata beliau tanpa menamakan pihak yang terlibat.

"Hubungan kita dengan Iran sangat baik tetapi kita menghadapi beberapa tekanan yang sangat kuat daripada pihak tertentu, yang mungkin kamu boleh agak.

"Kita dipaksa melakukannya kerana jika tidak, mereka akan menutup bank kita di luar negara.

"Ini perbuatan buli oleh orang yang sangat berkuasa," katanya mengulas laporan yang menyatakan bank-bank di Malaysia menutup akaun individu dan syarikat Iran.

Perdana menteri ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di Putrajaya hari ini

Semasa ditanya bagaimana rakyat Iran di Malaysia akan bergerak selepas akaun bank mereka ditutup, Dr Mahathir berkata tujuan tindakan itu adalah untuk menyukarkan mereka.

"Kita tidak membantu (dalam menutup akaun bank), kita dipaksa melakukannya," katanya.

Pada mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata beberapa pelajar telah mengemukakan cadangan yang bijak bukan sahaja untuk Kementerian Pendidikan tetapi juga untuk kementerian lain bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan.

"Mereka (pelajar) bimbang tentang isu-isu kesihatan mental dan mengenai tempat-tempat di mana orang ramai boleh berjalan-jalan di kawasan dengan banyak pokok.

"Mereka juga berminat dengan sistem nilai pelajar dan rakyat kita untuk memastikan rakyat Malaysia akan terus dikenali bukan sahaja kerana berpendidikan, tetapi juga dengan karakter yang baik," kata beliau.

-Bernama

Lihat Komen
ADS