Malaysiakini BERITA

Saksi mengaku bayar RM400,000 untuk dapat MyKad, pasport M'sia

Bernama

Diterbitkan

Seorang ahli perniagaan warga China memberitahu Mahkamah Tinggi George Town bahawa beliau membayar sebanyak RM400,000 untuk memiliki pasport dan MyKad warga Malaysia.

Wang De Qun, 58, berkata dia bersetuju dengan pembayaran tersebut dan mahu membuat pasport warganegara Malaysia bagi tujuan pelaburan serta memudahkannya untuk menjalankan urusan perniagaan di negara ini.

"Saya mahu memiliki pasport yang sah di sisi undang-undang di negara ini bagi memudahkan saya menjalankan urusan perniagaan kerana jika tiada, saya mempunyai banyak sekatan dan masalah untuk ke Malaysia," kata saksi pendakwaan itu pada prosiding deposisi kes enam individu yang berdepan pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Individu berkenaan ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan Lai Chin Wah, 56.

Wang yang memberikan keterangan dalam bahasa Mandarin kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Melayu itu berkata beliau menjalankan perniagaan resort dan kontraktor pembinaan di negara ini.

Beliau berkata urusan memperoleh pasport Malaysia itu diperkenalkan oleh seorang lelaki warga Thailand yang dikenali Liwge, yang memberitahunya bahawa terdapat cara untuk membolehkannya memiliki pasport warganegara Malaysia dan bagi tujuan itu pengurus kewangannya telah memberikan bayaran RM200,000 terlebih dahulu kepada lelaki Thailand terbabit.

"Saya memberitahu Liwge, saya mahu pasport untuk tujuan pelaburan seperti yang boleh didapati di Australia dan Afrika dan saya mahu pasport tersebut (pasport Malaysia) sah di sisi undang-undang di Malaysia," katanya yang telah mempunyai dua pasport, China dan Vanuatu, Afrika, seterusnya pasport Malaysia dengan nama Ewe Chor Beng.

Wang berkata bagi urusan mendapatkan pasport itu, dia bertemu tertuduh, ahli perniagaan Lai Chin Wah pada Disember lepas.

"Pada pertemuan dengan Lai, saya telah dibawa ke sebuah hotel. Selepas itu saya di bawa ke sebuah bangunan kerajaan.

“Di sana saya dibawa ke bilik seorang pegawai di tingkat 3 dan diminta menurunkan tandatangan dalam beberapa helaian dokumen yang saya tidak ketahui isi kandungannya kerana tidak memahami tetapi saya percaya ia satu urusan yang sah dan berkaitan permohonan pasport yang ingin saya miliki," katanya yang turut mengesah dan mengecam di mahkamah, pegawai yang dimaksudkan itu ialah Mohd Faizul.

Saksi itu berkata selepas itu beliau dibawa ke tingkat lain bagi urusan cap jari dan mengambil gambar sebelum dibawa semula oleh Lai ke hotel dan selepas beberapa jam di situ, beliau ditunjukkan salinan dokumen yang mempunyai gambarnya.

Wang berkata beliau kemudian kembali ke China dan pada Februari lepas, Lai menghubunginya memaklumkan pasportnya telah siap dan beliau datang ke Pulau Pinang bertemu Lai yang menunjukkan kad pengenalan tertera gambarnya.

"Pada masa itu saya menyangka akan memperoleh pasport namun hanya sekeping kad, dan tertuduh (Lai) memberitahu saya kad ini (MyKad) diperlukan untuk membuat pasport.

“Keesokannya saya dibawa ke bangunan sama (bangunan kerajaan) untuk membuat segala urusan dan prosedur mendapatkan pasport dan kemudian pulang semula ke negara saya," katanya.

Buat lesen memandu

Wang berkata pada Mac lepas, Lai sekali lagi menghubunginya dan memaklumkan pasportnya telah siap dan beliau datang semula ke Pulau Pinang untuk mengambil pasport tersebut.

"Selepas memperoleh pasport itu pada malamnya, tertuduh (Lai) membawa saya ke Thailand dan pulang semula ke Malaysia keesokannya bagi percubaan pasport tersebut. Tiada sebarang sekatan berlaku dan urusan keluar masuk berjalan dengan lancar," katanya yang turut menyerahkan wang RM200,000 kepada Lai.

Wang berkata setelah selesai urusan pasport itu, Lai memaklumkan mahu menjalin kerjasama dengannya dalam perniagaan dan turut meminta beliau mengambil lesen memandu Malaysia dan saksi itu bersetuju dan telah menduduki peperiksaan seterusnya memperoleh lesen memandu.

Hakim Akhtar Tahir menetapkan esok untuk saksi itu menyambung keterangan.

Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala Lai turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Mohd Faizul menghadapi dua pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di George Town antara Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Yap, Loh dan Chien masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Lai pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-Bernama