Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menegaskan beliau sedia beri kerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan dakwaan rasuah yang melibatkan dirinya.

“Apa yang dia (kerajaan) cuba lontarkan pada saya, saya akan jawab kerana tak ada apa yang nak ditakutkan.

”Sama ada ‘land swap’ atau helikopter McDonnell Douglas ke, saya dah kata dulu, saya akan beri kerjasama kepada agensi-agensi yang nak siasat,” tegas Hishamuddin kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas kenyataan bekas senator Ezam Mohd Noor yang menggesa SRPM membuat siasatan terhadap pemimpin Umno itu.

Ezam dalam kenyataan sama turut menggesa siasatan ke atas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali atas tuduhan rasuah dan seks.

Ezam dalam satu kenyataan semalam mempersoalkan mengapa pihak polis dan SPRM tidak bertindak pantas dalam kes membabitkan dua pemimpin politik itu.

Jun lalu, Hishammuddin memberikan keterangan selama tujuh jam berhubung isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik Kementerian Pertahanan.

Untuk rekod, Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilaporkan membabitkan 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.

Bagaimanapun, mengulas lanjut dakwaan tersebut, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno menyifatkan tuduhan yang melibatkan beliau hanyalah isu kitar semula.

Malah, katanya, dakwan tersebut jelas memperlihatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak yakin dan takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

“Benda-benda ini semua cerita-cerita lama diungkit dan di ulang-ulang semula.

“Dia (kerajaan) kena tengok diri dia sendiri sama ada dia kuat atau tidak. Tuduhan-tuduhan terhadap saya ini menunjukkan mereka takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

"Kedua, mereka tak yakin dengan kekuatan mereka sendiri.

“Kalau tidak takkanlah kita ini dituduh nak sekat perdana menteri, boleh wujudkan kerajaan pintu belakang, yang kadang-kadang tak masuk akal,” katanya.

Mengulas kenyataan Ezam bahawa Hishammuddin mendapat layanan berbeza kerana rapat dengan perdana menteri dahulu dengan sekarang, anggota parlimen Sembrong berkata: “Itu tanya Ezam-lah apa maksud dia. Kalau dulu perdana menteri itu perdana menteri dia, jadi kalau saya punya hubungan dengan perdana menteri dan presiden serta ketua dia, bermakna dia orang tak rapat dengan Tun Mahathir.”

Sementara itu, Hishammuddin turut meminta menteri pertahanan sekarang, Mohamad Sabu berhenti memainkan isu-isu terpencil melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebaliknya, Hishamuddin berkata Mohamad perlu fokus kepada pentadbiran portfolionya.

Kata Hishammuddin banyak lagi isu-isu ATM yang belum diselesaikan setelah lebih setahun memegang jawatan itu.

"Bila nak buat kerja, saya nak Mohamad Sabu move on, pimpin Kementerian dan henti bangkitkan isu-isu terpencil dan menyerang saya.

"Ini tidak selesaikan masalah yang dihadapi ATM, kita tak selesaikan rumah aset pertahan kita di Sabah. Itu semua kena bincang takkan nak bincang pasal (ahli parlimen) Sembrong je," katanya.

Mohamad semalam berkata kementeriannya akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada peguam negara sebelum mengambil langkah seterusnya berhubung pembelian enam helikopter oleh pentadbiran lepas bernilai RM300 juta.

Malah, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan peguam negara bersabit pembelian helikopter berkenaan yang masih belum diterima kerajaan sehingga kini.

Lihat Komen
ADS